"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Awasi Kambing Hitam Si Pembakar Gereja

Mohd Sayuti Omar

KEJADIAN atau perbuatan pembakaran gereja walaupun berjaya ditenangkan tetapi ia masih belum selesai sepenuhnya. Pemberian wang dan huluran derama untuk membaiki rumah ibadat Kristian itu bukan penutup segala peristiwa. Kejadian itu memberi implikasi kepada pihak-pihak tertentu. Antara yang terkena dengan badi kejadian itu ialah Umno. Umno sebagai tunggak kerajaan UBN tercalar dengan kejadian itu.

Tuduhan kononnya Umno terbabit dengan kejadian tersebut meluas dalam internet dan juga SMS serta cakap-cakap di forum awam. Persepsi mereka kalau pun Umno tidak terbabit secara langsung namun sebagai parti menjadi kerajaan Umno kena bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

Alasan yang diberikan kerana soal keselamatan negara terletak di tangan Umno dan BN. Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN) dipegang oleh Hishamuddin Hussein, Naib Presiden Umno. Begitu juga dengan Menteri Pertahanan dipegang oleh Ahmad Zahid Hamidi, juga Naib Presiden Umno.

Kedua kementerian ini penting dan menjadi benteng negara. Soal keselamatan dan pertahanan negara dan rakyat dalam genggaman mereka. Apa-apa yang berlaku termasuk kejadian mengancam negara di bawah tanggungjawab mereka. Agensi penguatkuasa dan menjaga keselamatan negara di bawah bidang kawalan mereka.

Polis misalnya di bawah KDN. Keselamatan negara ini adalah tanggungjawab polis. Curi, rompak, rogol, pecah rumah, ragut, bunuh dan sebagainya adalah tanggungjawab polis menanganinya. Manakala masalah pertahanaan negara, pencerobohan anasir luar, perang dan sebagainya adalah di bawah bidang kuasa menteri pertahanan. (Termasuk juga jaga dan kawal enjin kapal terbang perang di bawah tanggungjawab kementerian ini).

Kerana betapa pentingnya kementerian ini maka kementerian ini diberikan peruntukan yang besar pada setiap tahun.

Atas tanggungjawab dan fungsi itulah maka apa-apa yang berlaku dalam negara ini menjadi tanggungjawab mereka. Mereka tidak boleh mengatakan tidak, melainkan kena bertanggungjawab dan mengambil risiko atas setiap apa yang terjadi.

Atas tafsir itu jugalah kejadian membakar gereja itu diletakkan ke atas bahu mereka. Kerana itu orang melihat apa yang berlaku orang akan mengaitkan dengan kelemahan pihak polis dalam mengawal dan memantau kejadian-kejadian itu. Apakah polis tidak membuat andaian
(prediction) apabila meletus isu kalimah Allah bahawa kejadian itu akan berlaku?

Adalah lemah dan ceteknya pengetahuan polis negara ini kalau mereka tidak membayangkan itu lebih awal? Biasanya polis berfikir lebih jauh setapak dari orang awam. Kalau minda polis di bawah minda orang awam atau pencuri mereka tak layak jadi polis. Kenapa saya katakan ini, kerana kalau mereka sudah membayangkan akan berlaku insiden itu mungin kawalan telah diberikan ke atas gereja dan kejadian malang itu dapat dielakkan. Lainlah kalau polis sendiri ada agenda tersendiri atas nama keselamatan!

Di sinilah ... apabila melihat kepada logiknya dan apa sepatut yang berlaku, tetapi tidak terjadi menyebabkan timbul andaian mengatakan Umno yang terlibat dengan pembakaran itu. Umno sengaja melakukannya kerana tujuan-tujuan tertentu. Dituduhkan Umno terpaksa lakukan kerana parti itu dalam keadaan terdesak untuk mengekalkan kuasanya.

Ternyata hari ini Umno serba salah dan gelabah dengan kejadian itu. Walaupun berbagai pihak dalam parti itu termasuk polis cuba menjelaskan tetapi ia bukan mudah untuk diyakini oleh rakyat. Kepercayaan dan keyakinan orang ramai kepada Umno sudah hilang dan terhakis. Ada yang melihat simpati Umno atas kejadian itu sebagai lakonan dan sandiwara saja. Apatah lagi sebelum ini Umno sudah acap kali terlibat dalam kejadian yang di
programkan untuk melemahkan lawannya termasuk sanggup melakukan kejadian yang lebih tragis.

Dua peristiwa berdarah yang sering dirujuk bila mengenangkan kepada usaha Umno untuk mengukuhkan kedudukannya. Peristiwa Memali di Kedah pada tahun 1986 yang mengakibatkan beberapa orang dikenali dengan pengikut Pas terkorban. Selain itu kejadian di Bukit Jenalik mengenai isu al Maunah juga dikaitkan dengan tafsiran politik yang sama – ia dilakukan kerana kepentingan politik pihak tertentu dalam Umno?

Mengingatkan sejarah ini menyebabkan orang tidak mudah menolak kalau ada andaian mengatakan Umno terlibat dengan insiden pembakaran gereja itu. Ia satu perkara logik bahkan satu kemestian Umno melakukan begitu.

Hari ini polis sedang memburu penjenayah yang membakar gereja itu ke mana dan di mana jua. Polis sangat memerlukan siapakah yang bertanggungjawab untuk menutup isu berkenaan. Bagi sesetengah pihak selagi si pelaku tidak ditangkap maka isu itu akan dianggap sebagai tidak selesai.

Dalam kesulitan mendapat pejenayah sebenar inilah maka timbul berbagai teori. Ada teori mengatakan polis akan mencari
kambing hitam dalam kes ini. Kambing hitam itu bukan saja untuk menyelesaikan isu berkenaan tetapi dalam masa sama untuk memburukkan parti pembangkang demi kelabaan UBN.

Macam mana caranya? Polis akan menangkap sesiapa yang sedia untuk jadi kambing hitam kemudian mereka akan mengakui sebagai ahli mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat. Si kambing ini akan mengakui konon dia ahli parti itu dan parti ini dan itulah yang akan diperbesarkan nanti. Maksudnya, kejadian itu akan dibabitkan dengan pihak pembangkang.

Justeru hendaknya parti pembangkang berwaspada dengan kemungkinan dan tektik ini. Ia tidak mustahil berlaku dan dilakukan kalau Umno terus terdesak dan imejnya merudum dan sokongan rakyat semakin menipis ekoran kejadian itu.

Kalaupun tidak waktu ini, penangkapan terhadap pembakar gereja itu mungkin menjelang tiba pilihan raya ia akan dilaksanakan. Jangan terkejut kalau dekat pilihan raya tiba-tiba polis akan membuat pengumuman yang mereka berjaya menangkap pelaku yang membakar gereja. Dan juga jangan terkejut kalau polis mengeluarkan kenyataan menjelaskan identiti si pembakar gereja itu adalah ahli Pas atau PKR atau DAP!

Awas dan beringatlah kemungkinan ini tidak mustahil sebab sudah banyak kali kisah-kisah dan projek seperti ini dilancar okeh BN dalam usaha mengekalkan kedudukannya. Sewaktu era reformasi dulu apa yang kita tidak dengar mengenai tektik dan provokasi polis dalam melumpuhkan demonstrasi ini termasuklah mereka-reka cerita kononnya para penunjuk perasaan ada yang membawa
*****tail untuk diletupkan.

Apakah aksi dan tektik ini sudah berakhir? Tidak politik akan mengeksploitasikan apa saja kesempatan yang ada di depan mata!

http://msomelayu.blogspot.com/

Tiada ulasan: