"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Herald setuju henti guna nama Allah, tetapi tuntutan di Mahkamah diteruskan

hermansamsudeen
Berdasarkan kenyataan Editor majalah Herald, Reverend Lawrence Andrew, mereka bersetuju untuk tidak mengunakan perkataan ‘Allah’ dalam penulisan mereka demi untuk mengurangkan ketegangan yang berlaku antara agama pada masa ini.

Walaubagaimanapun, Majlis Gereja-Gereja Sabah mengambil sikap tunggu dan lihat. Setakat ini kes tuntutan di Mahkamah masih lagi berjalan dan pihak Herald belum menarik balik permohonan itu kerana menunggu keputusan rayuan yang dikemukakan oleh KDN.


Berita Harian : Majalah Herald setuju henti guna kalimah
Oleh
Anwar Husin, Norfatimah Ahmad Hassan Omar dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Mulai Ahad lalu, Herald-The Catholic Weekly tidak lagi menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya bagi meredakan perasaan marah umat Islam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi 31 Disember lalu yang mengisytiharkan kalimah Allah bukan eksklusif kepada Islam saja.

Editor majalah itu, Reverend Lawrence Andrew, berkata keputusan itu dibuat pada 4 Januari lalu, didorong atas rasa tanggungjawab untuk menjamin keamanan negara dan kesejahteraan serta keharmonian rakyat berbilang bangsa.

“Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara ini, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membuat keputusan itu. Walaupun sedih dengan apa yang berlaku kebelakangan ini (tindakan membakar gereja), saya berasa tindakan kami boleh membantu untuk mengurangkan ketegangan dalam negara.

“Keputusan itu juga dengan mengambil kira sebarang huru hara boleh mengakibatkan rakyat terutama di kalangan miskin menanggung beban, selain menjejaskan ekonomi negara apabila pelabur bertindak untuk tidak meneruskan urus niaga mereka di sini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Isu penggunaan kalimah Allah menimbulkan kemarahan umat Islam apabila Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Lau Bee Lan membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Ketua Biskop Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam untuk menggunakan kalimah Allah dalam Herald-The Catholic Weekly.

Lau juga memutuskan Herald punyai hak dari segi perlembagaan untuk menggunakan kalimah itu bagi menyebarkan agama Kristian kepada penganutnya.

Bagaimanapun, pada 6 Januari lalu, Lau membenarkan permohonan Menteri Dalam Negeri untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan awalnya sementara menunggu Mahkamah Rayuan membuat keputusan rayuan menteri.

Andrew berkata, penerbitan edisi seterusnya juga tidak akan menggunakan kalimah Allah bagi memastikan isu itu tidak memuda-ratkan hubungan rakyat berbilang agama dan bangsa di negara ini.

Sementara itu, Majlis Gereja-Gereja Sabah mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung permintaan Presiden Majlis Jaksa Pendamai (JP) Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun supaya masyarakat Kristian menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah Allah.

Pengerusinya, Reverend Jerry Dusing, berkata pendirian itu diambil untuk menjaga sensitiviti masyarakat Kristian dan Islam, terutama selepas insiden beberapa gereja dibakar.

“Isu ini bukan mudah. Biarlah ia diselesaikan

melalui saluran betul. Biarlah pihak berkaitan agama menyelesaikannya,” katanya.

Tiada ulasan: