bumiperak
Catatan YAB Dato Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin7 Jan 2009 9.20 pagi Sewaktu dalam perjalan ke klinik pergigian di Silibin, tiba-tiba sebuah kereta dari persimpangan Jalan Seruan masuk terus kelorong laju di Jalan Raja Dr Nazrin Shah yang mana saya terpaksa mengelak dari melanggarnya secara direct kerana ketika itu saya sedang memandu agak laju. Kereta Volvo yang dielak itu hanya tergesel dibahagian hadapan kanan tetapi kereta Camry yang saya pandu terpaksa naik dan melanggar pembahagi jalan di tengah dan terus tercampak dan terbalik 4 roda keatas di pembahagi jalan tersebut.
Syukur, dengan izin Alah, saya sedar dan merangkak keluar dengan selamat. Saya terus menelefon doktor gigi menyatakan tidak boleh hadir serta anak lelaki saya, sementara itu pemandu Volvo tersebut, Doktor Nurul Huda menghampiri saya bertanya khabar. Saya cuma mengalami cedera ringan di siku kanan dan sedikit pendarahan di pipi kanan.
Selepas itu, seorang pemuda (Md Nor Mansur) memandu kereta Satria merah berhenti mungkin kenal saya atau kereta saya terus bertanya sama ada saya mahu di bawa ke hospital atau klinik pakar. Saya telah memintanya bawa ke hospital Permaisuri Bainun dan kami terus menaiki keretanya. Didalam keretanya saya terlihat anak kecilnya sedang berbaring dibelakang dan dalam perjalanan saya sempat bertanya asalnya dan tempat tinggal serta pekerjaannya.
Jam 9.30 pagi saya sampai di hospital dan terus ke Unit Kecemasan untuk menerima rawatan dan dimasukan ke Wad Teratai tingkat 8. Ujian air kencing dan darah semuanya normal cuma tekanan darah saya agak tidak stabil dan tinggi. Doktor telah memberi ubatan bagi menstabilkan dan alhamdulillah kini telah pulih. Dewasa ini, Siku kanan saya yang cedera ringan itu pula telah dibuang jahitanya dan kini semakin baik.
Saya berada selama 4 hari di wad tersebut dan menerima rawatan sepenuhnya dari doktor, jururawat, matron dan kesemua petugas hospital. Sewaktu di wad saya diperiksa dan mendapat perhatian dari 7 orang doktor bidang tertentu berserta pegawai perubatan di wad tingkat 8. Mereka kesemuanya handal belaka dan memberikan layanan yang baik. Alhamdulillah, kebanyakannya mereka menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat dan berharap PR akan kembali berkuasa d Perak.
Semasa di wad ramai ramai pelawat dan pengunjung juga hadir
termasuk sanak saudara jauh-dekat, rakan taulan, saudara-mara, pemberita dan wartawan, bloggers dan kenalan yang datang mengunjung. Bonda saya Hajjah Hamidah bersama kakak dan abang adik juga telah datang menziarahi bersama orang kampong. Ada yang dapat masuk dan yang kena tahan di luar. Terdapat ramai Pegawai Kerajaan, NGO, Syarikat dan golongan korporat serta individu telah menghantar buah tangan, bunga-bungaan, buah-buahan dan lain lain kad ucapan sembuh dan doa-doa. Tak kurang juga yang menelefon dan SMS yang bertalu-talu bertanyakan keselamatan dan kesihatan saya.
Tak kurang juga yang bertanyakan keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai siapa Menteri Besar sah di Perak? Saya nyatakan "tak tahu, wallahu a'lam!"
Tak dilupakan, saya ucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan tinggi antaranya YB Dr Mah Han Soon, YB Dato Fakih Adam , YB Dato' Ngeh dan lain-lain ADUN Pakatan Rakyat yang telah sudi menziarah. Terima Kasih juga YB Dato Seri Dr Zambry Kadeer juga melawat saya pada 8 Jan 2009, jam 10.25 malam dan sempat bersembang perkara biasa saja.
Sewaktu di Wad, beberapa program dan majlis ceramah, khususnya di Puchong, Manjung, dan lain-lain telah saya berjanji menghadiri maka agar tidak menghampakan, saya gagahkan dan dapat berceramah terus dari dalam wad dengan mengunakan telefon bimbit secara ‘life’ ditempat-tempat tersebut. Alhamdulillah walaupun tak dapat hadir, namun mereka masih boleh mendengar suara saya!
Pada hari akhir 10 Jan 2009 setelah 4 hari di wad, sebelum keluar, salah seorang pesakit dari Johor di wad tingkat 8 telah kembali kerahmatullah. Saya mengajak isteri saya Datin Seri untuk menziarahinya dan bertemu balu Allahyarham dan anak kecil perempuanya. Saya sempat mengetuai majlis tahlil untuk Allahyarham Hashim bersama kakitangan hospital, rakan keselamatan dan unit amal. Al faatihah!.
Saya dibenarkan pulang kerumah oleh doktor pada jam 12 tengahari setelah mereka puas hati dan kini saya berehat di rumah dan dibolehkan meneruskan tugasan harian saya seperti biasa.
Keluar hospital, saya sempat mengimamkan solat fardhu Jumaat apabila disudi oleh imam di Masjid Hospital (Masjid Muhibuddin Shah). Sebaik saja selesai berkhutbah, dengan izin Allah SWT saya berkemampuan untuk mengimami solat Jumaat hingga sempurna. Selepas solat Jumaat saya berdoa keselamatan dan petunjuk kehadrat Ilahi.
Kini saya telah mula mesyuarat parti, berceramah, menghadiri jamuan makan malam, kuliah, melawat gereja, sekolah Convent, Taiping, melawat mangsa kebakaran dsi Sungai Siput. Kemudian dapat bertemu rakyat dipasar malam Alor Pongsu, gerbang malam di Bagan Serai serta Dewan Perhimpunan Penyokong Pas Bagan Serai.
Kepada sahabat semua, teruskan berdoa agar dapat kita usahakan dan meneruskan perjuangan menegak keadilan dan kebenaran di bumi Perak tercinta ini. Insiden ini sesungguhnya telah banyak memberi pengajaran dan hikmah kepada saya untuk di teladani. Allah Maha berkuasa melindungi dan menyelamat saya!
Akhir kata, saya bermohon ampun maaf kepada semua jika ada tersinggung, terkasar bahasa, terlebih bicara, terlanggar tata dari kesilapan dan kelemahan saya. Terus doakan demi keselamatan negeri kita dan rakyat Negeri Perak yang tercinta.
telah dikemaskan oleh bumiperak/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan