"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu gereja: PAS kesal Hishammuddin ugut Anwar

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 13 Jan:
PAS amat kesal dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengugut akan mengambil tindakan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal membendung gejala serangan ke atas gereja dan menuduh Umno sebagai dalang sebenar di dalam perkara itu.
Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, apa yang dikatakan oleh Anwar itu adalah persepsi masyarakat Malaysia pada masa ini dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sewajarnya mengambil kenyataan itu sebagai satu teguran.

Kastanya, persepsi rakyat juga melihat bahawa Umno cuba mendalangi isu itu di mana maksud mendalangi itu luas kerana segalanya berpunca dari kelemahan Umno yang meletakannya salah seorang pemimpinnya sebagai Menteri Dalam Negeri tetapi gagal memainkan peranannya.

“Sewajarnya KDN menyelesaikan isu ini secara diplomasi dan rundingan, bukannya membiarkan NGO-NGO pro Umno menghangatkan isu ini dengan demontrasi serta pelbagai provokasi,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Tegasnya, PAS menghormati tugas pihak polis dan KDN, tetapi kelembapan KDN bertindak boleh menyebabkan isu itu mencetuskan ketegangan yang berpanjangan.

Katanya, berulang kali Hishammuddin menyebut bahawa KDN sudah kenal pasti suspek, tetapi hingga hari ini tiada satu tangkapan pun dibuat yang mana menteri sepatutnya 'walk the talk' bukan 'talk the walk’ sahaja.

Tambahnya, ugutan kali kedua tentang penggunaan ISA semalam juga mengukuhkan persepsi bahawa menteri sedang cuba menutup kelemahannya dalam menguruskan isu itu.

“Bila ada sahaja isu yang gagal ditangani, menteri akan ugut ISA, sikit-sikit ugut ISA, macam perangai budak tadika. PAS tegas untuk menolak ISA dan mahu ianya dimansuhkan,” ujarnya.

PAS juga, katanya melihat amaran penggunaan ISA kali kedua menghampiri Ops Lalang kedua di mana orang-orang yang bersalah tidak dibawa ke mahkamah, tetapi orang yang persoalkan tindakan lembap KDN pula ditahan di Kamunting.

Beliau menambah, ini jelas sebagai satu strategi untuk menjadikan BN begitu dominan, namun dengan pengalaman yang ada, percaturan politik BN sudah dapat dibaca rakyat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan KDN supaya bertindak bijak, bukannya menurut hawa nafsu politik menteri yang mahu menyelamatkan partinya yang kini terdesak untuk memulihkan keyakinan rakyat dan mahu dilihat 'juara rakyat' dengan mengorbankan pimpinan Pakatan.

“PAS berharap isu ini dapat diselesaikan melalui pendakwaan di mahkamah dan menyeru agar semua pihak agar terus bertenang di samping mengukuhkan perpaduan serta saling bertolak ansur,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: