"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Turki tundukkan Israel guna drama

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 15 Jan:
Menggunakan nilai-nilai sejagat seperti diplomasi, kerajaan Turki hari ini dilihat berjaya menundukkan keangkuhan kerajaan Zionis-Israel menggunakan drama The Valley of the Wolves.

Babak drama yang ditayangkan di Turki pada Oktober tahun lalu itu memaparkan tindakan Timbalan Menteri Luar Israel, Danny Ayalon menyediakan sofa yang lebih rendah kepada Duta Turki, Oguz Celikkol dalam suatu perundingan antara Israel-Turki, sebagai simbol penghinaan.

Perdana Menteri Turki, Racep Toyyib Erdogan sendiri ketika dilaporkan mengaku bahawa negaranya telah menerima ‘permohonan maaf’ daripada Perdana Menteri Israel, Binyamin Netanyahu serta Menteri Luar Israel, Lieberman Avigdor disebabkan penyiaran drama kontroversi tersebut.

“Saya diberitahu bahawa kami (kerajaan Turki) menerima jawapan yang kami inginkan (iaitu Israel memohon maaf kepada Turki) dan diharapkan (Israel tidak mengulanginya) dalam istilah diplomatik,” jelas Erdogan sebagaimana dipetik daripada akhbar elektronik antarabangsa, aljazeera.net.

“Surat (permohonan Netanyahu itu) termasuk mengungkapkan ‘permohonan maaf’ (kepada Turki).”

Dalam perkembangan yang sama, Presiden Turki, Abdullah Gul menegaskan, permohonan maaf tersebut tidak memadai, kecuali Israel sedia membuat permohonan maaf secara rasmi dalam media arus perdana.

Mengulas ketegasan Abdullah itu, Netanyahu sekali lagi mengulangi komitmen Israel untuk terus menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara tersebut.

Netanyahu juga berharap konflik diplomatik yang melibatkan Israel dan Turki tersebut tidak berpanjangan.

Isnin lalu, Turki turut dilaporkan secara tegas menolak permohonan maaf yang dibuat oleh Ayalon sendiri, atas prinsip asas diplomasi yang dipersetujui bersama-sama Israel sebelum ini.

Sebelum babak kontroversi tersebut, turut ditayangkan suatu babak - pasukan keselamatan Israel sebagai penculik anak-anak kecil dan penembak kepada warga emas dalam suatu masyarakat.

Babak tersebut dijadikan sebab Ayalon memanggil Celikkol berunding kononnya atas nama diplomatik.

“Perhatikan bahawa dia (Celikkol) dudu di kerusi yang lebih rendah... bahawa hanya ada satu bendera Israel di (atas) meja dan bahawa kita tidak tersenyum (bersikap angkuh),” sinis Ayalon kepada jurukamera drama tersebut menggunakan bahasa Ibrani, sebelum rundingan Ayalon dan Celikkol dibabakkan.

‘Permohonan maaf’ oleh Israel itu dilihat sebagai suatu lagi rekod ketegasan kerajaan Turki di bawah pimpinan Erdogan, menggunakan nilai-nilai sejagat seperti sekularisme, kedaulatan dan diplomasi.

Tiada ulasan: