SHAH ALAM, 12 Jan — Kerajaan Selangor hari ini meminta Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) negeri itu menyediakan laporan audit kewangan dan pentadbiran harta yang telah diberi kepada mereka bagi tujuan melaksanakan program membasmi kemiskinan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) berkata berdasarkan pemantauan kerajaan negeri, YBK tidak pernah mengeluarkan laporan audit mengenai perjalanan kewangan dan urusan pentadbiran sepanjang lima tahun lepas.
“YBK juga tidak ada sebarang laporan tentang bagaimana duit serta harta yang diperuntukkan untuk program membasmi kemiskinan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata bagi tujuan itu kerajaan Selangor bersedia memberikan peruntukan supaya laporan audit dapat dibuat dengan segera memandangkan harta dan bantuan kewangan bernilai ratusan juta ringgit telah diberikan kepada YBK. Katanya kerajaan Selangor juga berharap semua badan bukan kerajaan (NGO) menyokong usaha itu bagi memastikan YBK menjalankan programnya dengan lebih telus dan bertanggungjawab supaya program yang direncana memberi manfaat kepada golongan sasar tanpa mengira kaum.
Beliau berkata atas dasar itu jugalah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 20 Okt lepas memutuskan untuk melantik Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai pengerusi YBK, dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi Rodziah Ismail sebagai anggota lembaga.
Akhbar sebelum ini melaporkan YBK Selangor mempertikaikan tindakan kerajaan negeri itu mengenakan prasyarat untuk meluluskan pembangunan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di atas tanah milik yayasan itu di Serendah, Selangor.
Pengerusinya Datuk Zainal Abidin Sakom dilaporkan berkata badan itu perlu membayar tunggakan cukai RM6 juta dengan segera jika enggan menerima Khalid sebagai pengerusinya, sekali gus merencatkan pembangunan kampus UiTM tersebut.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan