"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda PAS sokong titah Raja Dr Nazrin Shah

Harakahdaily
IPOH, 15 Jan:
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) menyokong penuh titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah semasa Persidangan Ke-169 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) agar rakyat perlu bijaksana mengenalpasti dan meningkatkan asas perpaduan serta memahami implikasi negatif yang boleh tercetus akibat menimbulkan perkara yang mendatangkan ketidakselesaan dan bersifat kontroversi.

Ketuanya, Mohd Nor Amin berkata, DPPN Pk menekankan bahawa Islam tidak mendidik umatnya melakukan perkara yang bertentangan dengan naluri dan perkara yang ditegah oleh agama, bahkan Islam telah menuntut seluruh umatnya supaya menghormati agama lain.

Islam juga tegas beliau telah menetapkan dakwah sebagai cara berhubung dengan agama lain sebagai satu makenisma terbaik sepertimana yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran.

"DPPN Pk merasakan titah Raja Dr Nazrin Shah sebagai satu bentuk peringatan dari Ketua Agama Islam Negeri supaya semua pihak jangan sekali-kali melakukan tindakan di luar batasan norma ajaran agama.

"Islam yang pada dasarnya sangat mengutamakan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum." katnya dalam satu kenyataan.

Umat Islam tegasnya perlu memahami bahawa Islam adalah cara hidup yang sempurna anugerah Allah sebagai satu rahmat kepada semua manusia tanpa mengira bangsa dan kaum.

"Malah DPPN Pk juga menyarankan tokoh-tokoh agama agar mengurangkan serangan dan ketegangan tetapi memperkasakan majlis dialog penerangan sepertimana yang telah disaran oleh Agama Islam bagi memastikan umat Islam dan bukan beragama Islam akan dapat memahami dengan jelas kebenaran dan keadilan Islam dalam menangani permasalahan semasa," katanya.

Tiada ulasan: