Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) telah menerima satu salinan surat yang telah dikeluarkan oleh Bahagian Pendidikan Agama, Jabatan Agama Johor bertarikh 17 Februari 2010 dengan bilangan surat Bil (3) PPAJ/06/02/07(32) berkaitan dengan tindakan terlebih bayar elaun Guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) yang telah bersalin.
Apa yang mengejutkan setiap guru yang telah menerima elaun tersebut telah diarahkan untuk membayar kembali elaun yang telah diterima kepada Bahagian Pendidikan Agama JAJ dan perlu dijelaskan selewat-lewatnya pada atau sebelum 1 Mac 2010.
DPPNJ mendapat maklumat bahawa :-
- Elaun yang diterima oleh guru KAFA di Johor yang mengajar selama empat setengah jam akan menerima RM812 sebulan manakala guru KAFA yang mengajar selama tiga jam akan menerima elaun sebanyak RM612 sebulan.
- Sebelum tahun 2007, guru-guru KAFA yang bercuti kerana bersalin menikmati elaun penuh selama enam puluh hari cuti bersalin. Selepas itu, guru KAFA terpaksa mengambil cuti bersalin tanpa gaji.
- Pada 26 Jun 2008, Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, YB Zainal Abidin Osman telah menjawab soalan YB Halim Suleiman (BN-Puteri Wangsa) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Johor dengan menyatakan bahawa kerajaan negeri menerima peruntukan sebanyak RM14.1 juta setahun daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi tujuan pembayaran elaun kepada 1,850 guru dan penyelia Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini dan kerajaan Johor telah menambah peruntukan tersebut sebanyak RM5.6 juta setahun.
- Laporan Audit Negara seperti mana yang telah dibentang oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin yang telah dikeluarkan pada tahun 2009 telah menyatakan bahawa kesemua guru KAFA di Johor tidak menikmati imbuhan tahunan kakitangan awam walaupun mereka berhak menerimanya seperti diumumkan kerajaan melalui pekeliling pada 2006 dan 2008 dan ia boleh menjejaskan motivasi guru-guru terlibat sehingga mengganggu perjalanan sistem KAFA.
Terdapat beberapa perkara yang saya ingin mempertegaskan di sini iaitu :-
- Guru KAFA di Johor yang telah terlibat dalam perkara ini terpaksa membayar kembali elaun yang mereka telah terima sebelum daripada ini sedangkan mereka tidak tahu menahu bahawa JAJ telah menghapuskan peruntukan kepada guru KAFA yang bersalin. Dengan elaun yang kecil, guru-guru ini sudah tentu tertekan dengan surat yang ingin mereka membayar kembali elaun tersebut. Secara tidak langsung ia adalah satu penindasan kepada guru KAFA di Johor sedangkan guru KAFA di Selangor menikmati elaun penuh semasa cuti bersalin.
- Kerajaan negeri Johor sepatutnya mengambil iktibar di atas sikap kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat yang telah mengambil tindakan paling awal ketika berjaya membentuk kerajaan baru dengan tambahan elaun khas kepada Guru-Guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) seluruh Pulau Pinang sebanyak RM863 ribu bagi jumlah 1,450 guru dan 11 penyelia guru KAFA. Menurut YAB Lim Guan Eng, beliau meletakkan nombor satu tentang soal pendidikan kerana guru KAFA sanggup meluangkan masa untuk mengajar anak-anak bangsa ke arah pembentukan akhlak.
- Saya bimbang dengan perkembangan ini kerana ia secara tidak langsung menggambarkan kedudukan ekonomi negeri Johor yang semakin merosot sehingga menyebabkan JAJ terpaksa mengambil keputusan untuk menghapuskan elaun cuti bersalin kepada guru-guru KAFA di Johor. Apakah kerana desakan ekonomi yang semakin merudum ataupun kerana tidak ada rasa keprihatinan terhadap kaum wanita yang sanggup berkorban untuk mendidik anak-anak ke arah yang lebih baik. Sedangkan, negeri yang lain seperti Selangor memberikan cuti bersalin bergaji selama enam puluh hari.
Maka, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor :-
1. mendesak supaya JAJ memperjelaskan perkara ini kepada umum tentang elaun guru KAFA yang dihapuskan dan mengapa perlu membayar semula elaun cuti bersalin yang telah diberikan terlebih dahulu sedangkan JAJ tahu bahawa ia adalah berpunca daripada kelemahan JAJ sendiri.
2. mendesak agar elaun cuti bersalin yang telah diterima oleh guru KAFA yang terlibat dengan bersalin tidak ambil kembali dan perlu diberikan kembali elaun tersebut pada masa akan datang.
DPPNJ akan membuat tindakan susulan terhadap perkara ini dalam masa terdekat termasuklah penyerahan memorandum kepada Jabatan Agama Johor.
Sekian
PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN
Yang benar,
KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan