"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Majlis Ulama Indonesia bantah guna pengimbas di lapangan terbang

JAKARTA, Feb 23: Majlis Ulama Indonesia (MUI) menolak rancangan kerajaan untuk menggunakan kelengkapan pengimbas badan sepenuhnya di lapangan terbang negara itu dengan mendakwa ia melanggar hak asasi manusia dan undang-undang syariah.

“Jangan menggunakan (pengimbas) di Indonesia. Kami bukan negara paranoid atau negara penakut.

“Apa yang kami bimbang ialah menggunakan pengimbas melanggar hak asasi manusia dan digunakan sebagai alat permainan untuk menganiaya wanita,” kata Amindhan, pengerusi MUI kepada detik.com.

MUI juga bersetuju dengan bantahan Pope Benedict terhadap keputusan menggunakan pengimbas penuh.

“Ia melanggar hak asasi manusia. Jika hanya tulang sahaja kelihatan tidak mengapa, tetapi jika badan sepenuhnya maka ia akan menjadi satu mainan,” kata Amidhan sambil menambah tiada pengecualian dalam soal ini.

“Ia hanya boleh digunakan dalam situasi darurat berkaitan dengan keselamatan negara, dan hanya wanita yang seharusnya mengimbas kaum wanita dan lelaki mengimbas kaum lelaki,” katanya.

Amidhan berkata dia percaya bahawa Indonesia bukan negara yang berhadapan dengan darurat pada masa sekarang dan kakitangan keselamatan lapangan terbang masih boleh menggunakan kelengkapan lain.

“Selagi adanya alat lain, maka ia bukan situasi darurat,” katanya.

Kerajaan bercadang untuk menggunakan pengimbas Provision dikeluarkan Amerika Syarikat.

Kementerian Hal Ehwal Luar berkata pengimbas yang akan digunakan tidak akan mempamerkan “bahagian-bahagian sulit.”

Pengimbas itu sedang digunakan di lapangan terbang Kanada dan Perancis sebagai percubaan manakala di Indonesia ia akan digunakan untuk memeriksa penumpang yang menuju ke Amerika Syarikat.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: