"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wang ihsan: PAS tak iktiraf tapi tidak sekat agihan

Mohd Zuharman

KOTA BARU, 26 Feb: Kerajaan PAS Kelantan tetap dengan pendiriannya tidak mengiktiraf wang ihsan disalurkan kerajaan pusat tetapi pada masa yang sama tidak akan menyekat pengagihannya, yang dijadualkan bulan depan.

Pada masa yang sama kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, kerajaan negeri tetap dengan pendirian mahu menuntut bayaran wang royalti.

“Itu hak dia. Dia punya pasal. Cuma dari segi pengiktirafannya kita menuntut hak kita iaitu royalti,” kata beliau selepas menyampaikan kuliah mingguan menggantikan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak dapat hadir hari ini.

Beliau yang juga Exco kerajaan negeri mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang bertegas hanya akan membayar wang ihsan kepada Kelantan sebanyak RM20 juta sebagai ganti wang royalti.

Mohd Amar berkata pemberian wang ihsan yang akan disalurkan melalui Jabatan pembangunan Persekutuan (JPP) adalah urusan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak ingin mengambil tahu perkara itu.

“Dia nak bagi pada sesiapa itu kita tak nak ambil tahu. Kerana pemberian itu bukan melalui kita (kerajaan negeri).

“Sebagaimana disebutkan Menteri Besar sebelum ini, (kerajaan negeri) tidak mengiktiraf wang ihsan.

“Jadi kita menuntut wang itu (rayolati) berdasarkan perjanjian yang dibuat antara kerajaan negeri, persekutuan dan Petronas.

“Soal kerajaan persekutuan nak bagi wang ihsan itu terserah pada dia, tapi kita tetap menuntut hak kita,” katanya.

Kata beliau kerajaan negeri akan terus berusaha melalui saluran-saluran yang munasabah bagi mendapatkan hak itu.

Semalam Najib memberitahu pakar undang-undang telah mengesahkan bahawa tindakan kerajaan dalam perkara tersebut (memberi wang ihsan) kepada Kelantan adalah betul berdasarkan fakta undang-undang.

Justeru kata Najib, peruntukan atau bantuan berkenaan sebanyak RM20 juta akan tetap diberikan dan ia dijangka akan disalurkan selewat-lewatnya bulan depan.

“Kerajaan sedang menentukan kaedah dan siapa yang akan mendapatnya,” kata Najib.

Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan Datuk Husam Musa memberitahu pemimpin Umno Kelantan walaupun berstatus menteri tetapi tidak memegang portfolio berkenaan tidak layak bercakap mengenai royalti minyak.

Sebaliknya beliau meminta Najib dan Petronas yang menjawab isu berkenaan.

Tindakan pemberian wang ihsan telah mencetuskan satu polemik termasuk Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan Persekutuan hanya membuat bayaran wang ihsan.

Bahkan, terbaru Tengku Razaleigh dilaporkan berkata iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan Kerajaan Persekutuan menerusi akhbar-akhbar bahasa Malaysia baru-baru ini menimbulkan lebih banyak implikasi negatif dan kekeliruan berbanding penjelasan.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: