"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin Pakatan perlu bersih rasuah

SHAH ALAM: Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepada jentera pemimpin Pakatan Rakyat Selangor mempunyai prinsip bertanggungjawab, mengekalkan kepimpinan yang bersih dari rasuah dan memperjuangkan masalah rakyat.

Menurutnya, kepimpinan yang bersih akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

“Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) merupakan bukti Kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah meminggirkan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Penduduk miskin dan daif tidak pernah dipinggirkan dan jika mereka dipinggirkan, ia menunjukkan ekonomi tidak adil,” katanya ketika berucap dalam Majlis Semarak MES, di Dewan Bola Tampar Majlis Bandar raya Shah Alam (MBSA), di sini, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Xavier Jayakumar.

Anwar berkata, adalah menjadi tugas pemimpin negeri ini untuk memastikan tidak ada rakyat yang layak dan memenuhi kriteria menerima bantuan tercicir.

“Pemimpin Pakatan Rakyat juga perlu bersedia membangunkan diri, moral dan mengamalkan sikap baik.

“Ketika ini pembangunan Negeri Selangor sedang menuju ke tahap pertumbuhan lebih baik dan ekonominya juga sudah meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga berpuas hati terhadap kerjasama yang ditunjukkan oleh barisan Exco, pegawai kerajaan dan semua yang terlibat dalam memastikan MES mencapai matlamat.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan Anwar berkesempatan mengadakan pertemuan dengan 800 penerima sumbangan Kerajaan Negeri di bawah program MES bagi menegaskan komitmen berterusan terhadap pembangunan ekonomi Selangor berlandaskan konsep kebajikan.

Selain meraikan ulang tahun kedua pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini, penganjuran program itu juga bertujuan menerangkan kejayaan program MES dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor.

Pada majlis yang sama, Kerajaan Negeri akan turut menyampaikan sumbangan kepada 300 kanak-kanak yang berdaftar dengan program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), 200 ahli keluarga yang layak menerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE), serta 300 mahasiswa yang layak menerima Hadiah anak masuk universiti.

Sementara itu, MES untuk fasa pertama turut melancarkan beberapa program termasuklah bekalan air percuma bagi 20 meter padu pertama, Pusat Khidmat Krisis Sehenti, Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang, dan Program peningkatan hasil daripada bahan batuan dan mineral.

Manakala, program MES bagi fasa kedua pula ialah Cuti Bersalin 90 Hari, Cuti Untuk Suami yang isterinya bersalin selama 14 hari dan Cuti Kematian Suami Selama 30 Hari bagi kakitangan awam.

-SinarHarian-

Tiada ulasan: