"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ramai tidak faham maksud perbincangan PAS-Umno

M Faqih
KOTA BHARU, 11 Feb:
Dewan Pemuda PAS menganggap banyak pihak tersasar memahami maksud sebenar kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkaitan perbincangan PAS dan Umno.
Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, akibat salah faham tersebut menyebabkan mereka mengulas di luar konteks sebenar sehingga terpesong jauh.

“Cadangan Menteri Besar Kelantan sebelum ini mahu mengadakan perbincangan dengan Umno berkaitan agama seperti PAS berdialog dengan penganut agama Kristian, Buddha dan Hindu.

“Maka tidak salah jika PAS turut berdialog dengan Umno atas dasar agama,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebelum ini, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengajak Umno berbincang kenapa parti itu menolak Islam sebagai cara hidup dan bernegara, selain itu katanya di mana silap PAS memperjuangkan Islam.

Oleh itu, Abdul Latif berkata, kenyataan yang dibuat Ketua Dewan Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian dan pihak-pihak lain dianggap tidak ada kena mengena dengan kenyataan awal Menteri Besar Kelantan.

Pemuda Umno dalam kenyataan hari ini menyebut Tuan Guru Nik Abdul Aziz diminta membuat pertemuan dengan DAP lebih yang secara terang-terangan menolak Islam sebelum berniat mengadakan pertemuan dengan Umno.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, kenyataan pemuda Umno begitu angkuh yang memperlihatkan parti itu tidak berminat berbincang untuk kebaikan agama.

“Apa yang Umno inginkan hanya menangguk keuntungan politik dari cadangan dibuat Mursyidul Am PAS,” ujarnya.

Malah, katanya juga, DAP sehingga kini tidak pernah membuat kenyataan menolak Islam secara terang-terangan seperti didakwa pemuda Umno.

Beliau berkata, Umno sering mengungkit DAP menolak Islam, sedangkan Umno dan parti kompenan lain Barisan Nasional secara jelas menentang pelaksanaan hudud.

Katanya, tahun lepas Gerakan memasang sepanduk bagi menyatakan penentangan terhadap perlaksanaan hukum hudud.

Tiada ulasan: