"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kabinet Najib masih amalkan polisi ‘pro-Israel’

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 8 Jun:
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tidak ada gunanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan usul mengecam zionis Israel di Dewan Rakyat semalam kerana Kabinet Malaysia secara rahsia masih menjalinkan perdagangan komersil dengan negara haram zionis itu.

Katanya, perdagangan komersil dengan rejim haram Israel masih terjalin sehingga kini sebagaimana yang diperkenalkan sejak Tun Dr Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri Malaysia dahulu.

“Sia-sia usul kecaman zionis Israel kerana bagi saya bahawa Najib masih meneruskan polisi yang ditinggalkan oleh Tun (Dr Mahathir) iaitu sesiapa pun boleh memohon daripada kabinet Malaysia secara rahsia untuk apa jua komoditi yang mahu diperdagangkan dengan kerajaan haram zionis Israel ini,” ujar beliau.

Mahfuz yang juga Ketua Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat berkata, kabinet Najib dilaporkan masih meluluskan perdagangan sejenis bahan kimia dengan negara haram tersebut secara rahsia sekitar Mac hingga April lalu.

Tidak cukup dengan itu, katanya kabinet Najib juga secara rahsia dilaporkan masih bersetuju memperdagangkan minyak sawit kepada negara haram zionis Israel tersebut pada Mei lalu.

Sehubungan itu, Najib dicabar menafikan kedua-dua pendedahan tersebut atau diminta menghentikan sikap hipokrit dalam isu keganasan zionis Israel dalam menghalang bantuan kemunusiaan sedunia ke Gaza yang sedang dikecam oleh dunia dan rakyat Malaysia sekarang.

“Kalau tak benar, dia (Najib) kena buat penafian yang kabinetnya tidak lagi melaksanakan polisi yang ditinggalkan oleh Tun Dr Mahathir itu dan kalau benar pula, berhentilah tunjuk sikap hipokrit itu,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan tentang buku-buku penerbitan komersil zionis Israel yang berada di Perpustakaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sekarang.

“Takkan buku-buku yang menjelaskan prospek perdagangan dan perindustrian di negara Israel itu sengaja dibekalkan di Perpustakaan MITI, kecuali untuk menggamit minat Malaysia untuk mengadakan hubungan dengan negara zionis itu.

“Kalau memang tak ada niat apa-apa, KDN tetap perlu jawab mengapa buku sebegini diluluskan di peringkat kerajaan dan dibekalkan di perpustakaan tersebut,” ujar beliau lagi.

Tiada ulasan: