Saudaraku Ibrahim Ali bukan niat di sini saya hendak menentang perjuangan jitu kamu namun hanya sekadar ingin berpesan – pesan sesama manusia seperti mana yang dituntut oleh Tuhanmu. Saudaraku Ibrahim Ali kalau benar pun pada hari ini kaum bukan Melayu adalah pendatang walaupun realitinya tidak maka kalaulah mereka pendatang seperti mana yang dipercayaimu maka bukankah mereka sebenarnya adalah tetamu jika benar kata kamu Melayu adalah Tuan di Tanah ini ?
Bukankah Islam merupakan satu agama yang paling mulia dan istimewa di dunia ini kerana nilai moral sejagatnya yang begitu menawan ? Bukankah Islam menyeru umat – umatnya melayan tetamu mereka dengan baik ?
Saudaraku Ibrahim Ali,
Setahu saya dalam Islam yang begitu indah ada juga suruhan jika kita hendak sembahyang sunat, tiba-tiba ada tetamu datang ke rumah, kita kena tangguhkan sembahyang itu dan pergi layan tetamu dahulu kerana ini perbuatan ini sendiri pernah dilakukan sendiri oleh Nabi Muhamamd yang kita semua sanjungi.
Sebagai seorang mahasiswa Akademi Pengajian Melayu sini saya juga mendapat banyak karya , kesusasteraan , pantun , sajak dan ungkapan yang melambangkan Melayu juga amat mementingkan dan mengutamakan tetamu.
Saudaraku Ibrahim Ali kalau benar pun benar katamu tetamu – tetamu anda adalah biadap dan tidak sopan. Sepatutnya saudara meneladani sifat Nabi Muhammad yang menerima layanan buruk daripada bangsa Quraisy semasa baginda menyebarkan Islam di Madinah. Cacian demi cacian. Makian demi makian. Godaan demi godaan. Kekejaman demi kekejaman terhadap penganut Islam. Sampai ada percubaan untuk membunuh baginda. Apa reaksi baginda pada ketika itu ? Apa tindakan baginda pada ketika itu ? Baginda tidak pernah membalas sebarang serangan mereka. Baginda bijak mencari keadaan yang lebih aman dan damai untuk mengatasi halangan beliau untuk berdakwah. Sedangkan selepas baginda sudah kuat , kukuh dan mantap dan berlakunya proses pembukaan kota Makkah baginda tidak pernah membalas dendam terhadap bangsa dan individu yang pernah menindasnya.
Jika benar pun Melayu ditindas oleh tetamu seperti katamu maka apakah penindasan mereka jauh lebih teruk berbanding apa yang dilakukan oleh bangsa Arab Quraisya terhadap Nabi Muhammad ?
Layanlah tetamu dengan baik seperti mana Nabi Muhammad dilayan dan dijaga dengan baik oleh Tuan rumah di Makkah.
Seperti mana juga Sultan Melayu Melaka pertama yang kita sanjungi Parameswa dilayan baik oleh Temagi iaitu pemerintah temasik pada ketika itu apabila beliau melarikan diri.
Tuhanmu yang Maha Esa lagi Pengasih pernah berfirman
“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat”.[Al-Hujurat(49):10]
Saudaraku Ibrahim Ali,
Sesungguhnya Islam yang mulia dan adil tidak pernah membahagi – bahagi dan membezakan kita semua. Telitilah perjuangan utama proses penyebaran Islam oleh Nabi Muhammad. Baginda sendiri memperjuangkan hak persamaan taraf di Madinah. Sebab itulah ramai golongan hamba yang dihina pada ketika itu mula memeluk Islam dan ramai dalam kalangan mereka mati dibunuh kerana memeluk Islam. Jangan sesekali menjadikan mana – mana bangsa sebagai TUAN di bumi ini kerana TUAN kita adalah Tuhan. Kita semua adalah hambanya. Status kita semua adalah sama. Janganlah terus membeza – bezakan kita.
Mengapa Nabi Muhammad mendapat tentangan yang begitu hebat oleh bangsa Quraisy ? Hal ini disebabkan pada ketika itu suku kaum Nabi Muhammad bukanlah yang paling utama di Madinah. Bangsa Quraisy bimbang kedaulatan bangsanya tergugat.
Sesungguhnya merekalah bangsa majoriti dan utama di sana. Namun jangalah sesekali kamu mengikut jejak bangsa Quraisy terhadap suku kaum lain seperti layanan mereka terhadap Nabi Muhammad. Sebaik – baiknya Islam boleh menerima hamba dan menyamakan status mereka maka jangan sesekali ada dalam kalangan umat Islam cuba meninggikan sesuatu kaum daripada kaum yang lain.
Tuhanmu yang Maha Adil dan Mulia pernah berfiman :
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra di antara satu sama lain). Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujuraat, ayat 13)
Baca selanjutnya di sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan