"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bila Yasmin sudah tiada

Penarik Beca

Setakat saya tengok tadi, 10,802 orang menyertai kempen "Kami membantah promo iklan Raya Aidilfitri TV3 2010" di laman Facebook. Banyak juga blog yang saya tengok membantah iklan tersebut (video iklan tersebut boleh dilihat di situ).

Dalam berita bertajuk "
Iklan Raya: TV3 mohon maaf", Utusan Malaysia melaporkan (paparan muka depannya mengenai berita itu di bawah):

Sejak Khamis lalu, TV3 menyiarkan iklan sempena Hari Raya yang menggambarkan seorang 'Pak Haji' mengajak kanak-kanak menaiki beca ajaib sehingga melintasi bulan.

Ia seolah-olah menyamai watak Santa Claus menaiki kereta salju yang dipacu oleh sekawan rusa kutub membawa hadiah Hari Natal untuk kanak-kanak.

Iklan tersebut juga menampilkan babak kemunculan pelita melalui bunga teratai yang dikatakan menyamai fahaman agama Buddha.

Iklan tersebut diterbitkan oleh Pengarah Kreatif TV3, Douglas Khoo Hong Seng dengan kos penerbitan RM200,000 dan banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer atau computer generated imaging (CGI).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan memberitahu, iklan tersebut telah pun dihentikan pada pukul 9 malam Sabtu lalu selepas lima kali disiarkan.

Saya bukan apa, tiba-tiba teringat pula perbualan dengan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika saya menumpang meja dia minum di Restoran Thaqwa, Taman Melewar. Tak ingat la pulak bila. Tetapi kami sama-sama setuju, sejak Allahyarham Yasmin Ahmad tidak ada lagi bersama-sama kita, tidak ada juga iklan-iklan Hari Raya yang memorable dan menyentuh jiwa.

Walaupun banyak pemikiran dan pendirian Yasmin yang tidak sealiran dengan Salahuddin mahupun saya, tetapi kami bersetuju bahawa sentuhan ajaib pengarah yang sangat kreatif itu, seperti yang terbukti dalam begitu banyak iklan-iklan Hari Raya, ternyata mengugah emosi dan rindu kita kepada ayah bonda, keluarga serta kampung halaman. Kalaupun bukan mengenai, ayah bonda, keluarga serta kampung halaman, garapan Yasmin di dalam iklan-iklan tersebut sangat dekat dengan kehidupan yang real.

Mudah-mudahan Allah, yang kepada-Nya kita merayu keampunan dan belas kasihan, mengampuni Yasmin dan kita semua.

(Takziah tidak terhingga kepada keluarga Allahyarham Datuk Yusof Chong yang
meninggal dunia semalam. Ah, tiba-tiba teringat pula apa yang dilakukan terhadapnya ketika dia menyampaikan persembahan sempena rumah terbuka Hari Raya Haji Phahrolrazi Zawawi oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak...)

Berkaitan:

Iklan kontroversi: Kementerian Penerangan patut dipersalahkan (Harakahdaily 6/9/10)

http://penarikbeca.blogspot.com

Tiada ulasan: