"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kereta dah jumpa tapi Sosilawati masih hilang

Sosilawati Lawiya, bekas isteri penyanyi Nash yang hilang sejak 30 Ogos lalu. — Gambar ihsan dari akaun Facebook
KUALA LUMPUR, 7 Sept: Dua kereta mewah dipercayai milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan seorang peguamnya, yang dipercayai hilang sejak 30 Ogos lalu, ditemui oleh di dua lokasi berbeza di Subang Jaya dekat sini malam tadi.

The Malaysian Insider difahamkan kereta BMW M5 dengan nombor pendaftaran WTL 11, dipercayai milik Sosilawati ditemui di parkir kenderaan di Pangsapuri Angsana di Persiaran Subang Mewah manakala BMW 5series, bernombor pendaftaran AAJ 5, dipercayai milik peguamnya ditemui berhadapan dengan sebuah rumah teres berdekatan Pusat Perubatan Subang dan hotel berhampiran.

Kedua-dua kenderaan itu ditemui sekitar 10 malam tadi.

Bernama melaporkan sehingga berita ini ditulis, tengah malam tadi, terdapat dua pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman sedang mengambil bukti dan maklumat lanjut dari dua kawasan penemuan kereta berkenaan.

Difahamkan kenyataan media berhubung penemuan itu akan dikeluarkan pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan penemuan kereta terbabit bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Ketika ditanya sama ada kesemua mangsa sudah dikesan, Ku berkata: “Belum.”

Polis Selangor juga memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihkanya dimaklumkan ada menerima maklumat mengenai penemuan kereta tetapi enggan mengulas lanjut kerana kes ini dikendalikan oleh Kuala Lumpur.

Dua kereta dan peguamnya ditemui beberapa jam selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata senarai panggilan telefon terakhir Sosilawati dan tiga yang lain dipercayai dapat membuka laluan penyiasatan berhubung kehilangan mereka.

Musa berkata pihaknya sedang menunggu data tersebut dan yakin butiran lanjut mengenai kejadian itu akan terungkai sebaik sahaja perincian penggunaan telefon oleh keempat-empat mereka diteliti.

“Kita perlu siasat kesemua anggota keluarga yang terlibat. Setakat ini kita belum dapat apa-apa petunjuk lagi.

“Antara yang kita siasat adalah panggilan telefon (panggilan terima dan panggilan keluar) kesemua mangsa untuk siasatan lanjut,” katanya.

Hanya satu laporan saja diterima polis berhubung kehilangan keempat-empat individu tersebut iaitu pada Khamis lepas daripada keluarga Sosilawati.

Satu sumber berkata, sebelum hilang, Sosilawati yang merupakan bekas isteri penyanyi terkenal dikatakan telah meninggalkan pejabatnya bagi menghadiri majlis berbuka puasa.

Namun, selepas meninggalkan pejabat itu, telefon bimbit milik wanita terbabit gagal dihubungi menyebabkan anak sulungnya yang dikenali sebagai Rita membuat laporan di Balai Polis Gombak.

Sosilawati, 47, dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya setelah dikatakan keluar dari rumahnya di Gombak, sejak 30 Ogos lalu.

Beliau dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas memberitahu salah seorang anak perempuannya mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari, namun gagal berbuat demikian sehingga kini.

Ahli perniagaan itu dilaporkan hilang bersama pemandu, peguam peribadi dan seorang pegawai bank sejak 30 Ogos lepas dan difahamkan Sosilawati membawa wang jutaan ringgit.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: