"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Aziz: ‘Allah akan laknat jika pemimpin agama bakar al-Quran’

KOTA BARU, 10 Sept: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata rancangan paderi di Amerika Syarikat untuk membakar al-Quran sebagai sempena ulang tahun kesembilan serangan pengganas ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) sebagai tindakan di luar jangkaan manusia.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, Allah Taala akan laknat jika ada pemimpin agama seperti itu.

Katanya, cadangan paderi berkenaan tidak masuk akal kerana mereka orang berilmu, yang tahu bahawa Islam bukanlah agama pengganas dan golongan ini boleh membuat kajian mengenai agama Islam dalam pelbagai bahasa.

Malah, katanya persoalan siapa yang bertanggungjawab ke atas serangan WTC sehingga hari ini belum dikenal pasti lagi.

“Kalau kata komunis bakar nak bakar al-Quran itu munasabah kerana mereka tiada beragama, sedangkan paderi Kristian adalah orang yang berilmu dan boleh membuat kajian mengenai agama Islam dalam pelbagai bahasa.

Beliau tahu bahawa Islam tidak perlu khianat kepada orang lain, jadi tak ada sebab mereka boleh bertindak demikian.

Nik Aziz berkata demikian kepada pemberita pada rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Pulau Melaka, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan Amerika Syarikat membidas rancangan membakar al-Quran.

Menurut kenyataan Kedutaan Amerika Syarikat di sini, kerajaan negara itu memandang tindakan sengaja memusnahkan sebarang buku suci adalah menjijikkan dan menimbulkan perbalahan, sesuatu yang ditolak oleh majoriti rakyat Amerika.

“Kami mempunyai penghormatan tidak berbelah bagi untuk al-Quran dan Islam sebagai salah sebuah agama teragung di dunia,” katanya.

Kenyataan itu menyebut semalam Presiden Barack Obama telah menyatakan cadangan kumpulan itu adalah bertentangan dengan nilai-nilai rakyat Amerika.

Selain itu, pertubuhan Islam Utara Amerika turut mengadakan sidang kemuncak antara agama pada 7 September lalu bagi menyatupadukan masyarakat pelbagai agama bagi menggalakkan toleransi dan menentang retorik anti-Islam. Wakil-wakil pada sidang itu termasuk pemimpin Kristian, Yahudi dan Islam.

Dalam perkembangan terbaru , Paderi Terry Jones dari Dove Outreach Center di Gainesville, Florida — yang mencetuskan kemarahan antarabangsa itu — telah memutuskan untuk menggantungkan rancangannya itu.

Di Johor Baru, Diokese Gereja Katolik Melaka-Johor hari ini mengutuk rancangan gereja di Gainesville itu.

Dalam kenyataannya, Biskop Paderi Tan Chee Ing menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bermoral.

“Kami tidak mempunyai hak mencaci kepercayaan agama lain. Saling menghormati dan penerimaan merupakan langkah ke arah mencapai keharmonian,” katanya.

-Bernama-

Tiada ulasan: