"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mualaf (Fatimah Fong Abdullah) dapat hak penjagaan anak

Seorang saudara baru, Fatimah Fong Abdullah @ Fong Mee Hui, 28, hari ini diberikan hak penjagaan sementara ke atas anak perempuannya yang berumur tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di Georgetown.

Hakim Yaacob Md Sam membuat keputusan itu berdasarkan temu bual beliau dengan budak perempuan itu selama sejam di dalam kamarnya pada 27 Disember lalu.

Beliau berkata dalam temu bual itu, budak perempuan itu telah menyatakan hasratnya untuk tinggal bersama-sama ibunya di Selangor.

"Budak perempuan ini bijak dan mampu memahami soalan-soalan yang ditanyakan. Katanya dia menyayangi kedua-dua ibu dan bapanya tetapi dia lebih sayangkan ibunya," kata Hakim Yaacob semasa menyampaikan penghakimannya.

Beliau berkata pada sesi melakar wajah ibu bapanya, budak perempuan itu malahan telah menulis petikan merayu kepada Tuhan yang dia mahu tinggal bersama-sama ibunya.

Hakim berkata adalah tidak mungkin budak perempuan itu telah dilatih untuk memberikan keterangannya kerana adalah sukar bagi murid Tahun Dua itu untuk menghafal keterangannya sepertimana dalam afidavit yang dikemukakan ibunya.

Cetuskan kekecohan

Bagaimanapun, beliau memberikan kebenaran kepada bapa budak perempuan itu, Tan Cheow Hong, 36, untuk mengambil anaknya itu pada setiap hujung minggu secara berselang-seli, cuti sekolah dan cuti am termasuk tiga hari sambutan Tahun Baru Cina bulan depan.

Pada 8 November lalu, Fatimah mencetuskan kekecohan apabila dia mengambil anaknya itu dari sebuah sekolah di Butterworth dengan kehadiran anggota polis dan Jabatan Agama Islam.

Fatimah, yang memeluk agama Islam pada 13 Ogos, turut mengislamkan anaknya itu pada 9 November di Jabatan Agama Islam Selangor.

Pada 24 November, Tan memfailkan saman pemula bagi hak penjagaan sementara anaknya itu.

Pasangan itu yang berkahwin pada 14 Feb, 2001, telah berpisah pada 2007.Budak perempuan itu telah berada dalam jagaan Tan sehingga 8 Nov.

Tan memohon pengisytiharan daripada Mahkamah Tinggi bagi forum yang sesuai untuk mendengar dan membubarkan perkahwinan mereka, yang didaftarkan mengikut undang-undang sivil, berikutan tindakan Fatimah membubarkan perkahwinan itu melalui Mahkamah syariah.

Tan juga memohon perisytiharan bahawa penukaran agama anaknya itu kepada agama Islam tanpa pengetahuan dan kebenarannya adalah melanggar Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003, dan melanggar obligasi Fatimah dan hak Tan di bawah Seksyen 5, Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961.

Peguam Gooi Hsiao Leung mewakili Tan manakala Fatimah diwakili peguam Mohd Zulkhairi Abdul Aziz.
-Bernama-

Tiada ulasan: