Shahbudin Husin
Isu pengawal peribadi Anwar mengeluarkan pistol kini menjadi isu baru untuk menyerang PR. Ia segera dikaitkan dengan pelbagai kemungkinan dan andaian jika PR memenangi pilihanraya akan datang. PR dikatakan memulakan politik ganas, tidak toleransi, ghairah menggunakan senjata dan pelbagai lagi.
Ada juga andaian yang mengatakan bahawa ini merupakan petanda awal sekiranya PR menang pilihanraya nanti, mereka akan menggunakan pistol dan senjata api untuk menghalang demonstrasi UMNO ketika itu.
Sebenarnya tindakan pengawal peribadi itu bukanlah sesuatu yang pelik dan diluar SOP jika dikaji dari awal bagaimana deretan ancaman yang diterima oleh Anwar sejak akhir-akhir ini. Tindakan menunjuk pistol hanyalah sekadar gertakan kepada 50 pemuda yang terus menerus memberikan ancaman untuk mengelakkan mereka terus menjadi ganas.
Kereta Anwar sebelum ini pernah disabotaj yang dipercayai bertujuan mengakibatkan kemalangan dan kematian. Cermin keretanya juga pernah dipecahkan. Anaknya Nurul Izzah juga menerima ancaman yang serupa, malah ugutan bunuh terhadap anaknya juga pernah diterima.
Sebaik PKR melancarkan bas Jelajah Merdeka Rakyatnya, ia disambut dengan simbahan cat merah dalam jelajah pertamanya di Kelantan. Di Melaka pula, selain disimbah cat oleh lebih kurang 50 pemuda yang dipercayai ahli UMNO, bas tersebut cuba dihalang perjalanannya.
Politik apa ini? Ia tidak lain menunjukkan UMNO sudah hilang kewarasan dalam berpolitik. Dalam sebuah negara merdeka yang mengamalkan demokrasi, semua rakyat bebas pergi ke mana saja. Dalam politik pula, sesiapa saja bebas menyokong parti mana yang disukai dan diyakininya.
Tindakan menghalang laluan bas jelas terkeluar daripada landasan demokrasi. Sementara Najib dan lain-lain pimpinan UMNO bebas bergerak di negeri-negeri yang dikuasai PR seperti Selangor, Kedah Pulau Pinang dan Kelantan sambil mengeluarkan pelbagai kecaman dan serangan kepada kerajaan negeri terbabit, amalan yang sama harus juga diberikan kepada pimpinan PR. Mereka seharusnya dibebaskan bergerak di negeri-negeri yang dikuasai UMNO.
Semua perbuatan tidak matang ini menunjukkan bahawa UMNO cuba mengelak rakyat daripada mengamalkan kebebasan yang dibenarkan oleh perlembagaan negara. Setelah berpeluang 55 tahun berkuasa, UMNO seharusnya menunjukkan kematangan sepadan dengan usianya.
Melakukan tindakan tidak matang seperti menyimbah cat dan menghalang laluan hanya menambahkan kebencian rakyat kepada UMNO yang sememangnya sudahsedia bertompok selama ini.
Sokongan dan penolakan rakyat seharusnya diterima dengan jiwa tenang. Rakyat tidak mungkin menolak sesebuah kerajaan tanpa sebab kerana kebanyakan rakyat bukan lagi duduk dalam gua seperti di zaman batu. Rakyat hari ini penuh dengan maklumat dan mereka tidak mudah lagi dibohongi.
Masalah UMNO ialah oleh kerana ia sudah berkuasa sebegitu lama, ia merasakan ia akan kekal selama-lamanya sehingga hari kiamat. Mereka yang menentang dan menolak UMNO dianggap pengkhianat dan tidak mengenang jasa. Rakyat sentiasa diminta menyokong UMNO walaupun pemimpinnya berperangai buruk serta rakus mengaut kekayaan negara tanpa belas kasihan.
Sehingga ia sudah dianggap seperti syaitan oleh Tun Mahathir pun, rakyat terus diminta menyokong UMNO.
Tindakan agresif dan ganas beberapa kumpulan dalam UMNO sekarang tidak lain adalah berpunca daripada saranan Najib sendiri. Najib sekarang begitu terdesak untuk mempertahankan kuasanya. Di suatu ketika beliau menegaskan bahawa UMNO akan mempertahankan Putrajaya dengan apa cara sekali pun. Dan terbaru ini beliau menyeru ahli-ahli UMNO supaya melakukan sekatan politik bagi menghalang kemaraan Anwar dan PR menuju Putrajaya.
Saranan Najib itu yang diulang-ulang oleh pelbagai peringkat pimpinan dalam UMNO lainnya tentulah akhirnya menghasilkan sesuatu tindakan yang boleh mencetuskan keganasan dan di luar batas-batas demokrasi. Mereka mungkin menafsirkan ucapan Najib yang mahu Putrajaya dipertahankan dengan apa cara sekali pun dan sekatan politik dilakukan untuk menghalang kemaraan PR sebagai "lesen" untuk melakukan apa saja termasuk menyimbah cat dan menghalang laluan bas yang membawa Anwar ke sebuah jamuan hari raya di Melaka.
Sebelum ini UMNO juga kerap mengganggu ceramah-ceramah PR dengan mengadakan ceramah di kawasan berdekatan sambil menghalakan mokrofon ke sasaran lawan. Umi Hafilda tentunya masih ingat bagaimana beliau selalu hilang suara kerana terlampau menjerit ke arah ceramah-ceramah PR sambil mengeluarkan perkataan jijik, hina dan kesat yang dikaitkan dengan Anwar.
Tindakan itu direstui, malah kadangkala dibanggakan oleh UMNO. Tentulah akhirnya ia akan menjurus kepada tindakan lain yang lebih agresif pula.
UMNO nampaknya hanya menerima demokrasi dan kebebasan jika memihak kepadanya. Jika berlawanan dengan seleranya, ia bukan lagi demokrasi bagi UMNO. Kewarasan berpolitik dan tidak sedia menerima kekalahan bukan sahaja masih menebal di kalangan ahli bawahan tetapi juga masih menebal di peringkat pimpinan.
UMNO Melaka dan di mana-mana saja seharusnya bersikap matang dan menerima kebebasan dan demokrasi dengan hati terbuka. Hujah harus dilawan dengan hujah. Kemaraan PR harus dilawan dengan khidmat kepada rakyat yang lebih baik, bukannya dengan aksi ganas dan samseng.
Oleh kerana pimpinan UMNO umumnya sering terpalit dengan pelbagai kepentingan serta salah laku ketika berkuasa, maka kuasa yang ada cuba dipertahankan untuk mengelakkan ianya terdedah kepada umum. Ahli bawahan diseret untuk mempertahankan kuasa seolah-olah untuk kepentingan rakyat walau hakikatnya yang ingin sangat dipertahankan ialah kepentingan peneraju kuasa sahaja.
1 ulasan:
Kepada penyokong UMNO yang ngok dan pemimpin UMNO yang banyak makan rasuah dan salahguna kuasa..maka tunggulah giliran anda untuk terima hukuman bila terbukti bersalah bila kerajaan bertukar tangan. Kepada Polis yang dilihat seperti berat sebelah..anda juga tidak akan terlepas jika terbukti bersalah. Kami rakyat kini menyimpan perasaan marah dan amat meluat dan jijik dengan perlakuan kalian yang cuba pertahankan sesuatu sistem yang korup,individu yang khianat pada negara dengan jual warganegara, seleweng wang rakyat!!!!!!Dengan izin Allah, anda akan tumbang dalam pilihanraya ke13 ini.Bila bertembung yang bathil dan yang benar......maka kebenaran akan menang!!! Ini janji Allah.
Catat Ulasan