Mohd Ishak Abdillah Ngah

Antara burung yang disita dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sekitar Kampung Binjai Manis, Manir, semalam.- Foto Buletin TV3
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 49 ekor burung disyaki daripada pelbagai spesies hidupan liar dilindungi serta 60 sangkar disita dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sekitar Kampung Binjai Manis, Manir, di sini, semalam.
Komander PPM Wilayah Tiga, ACP Mohd Khairuddin Jamal berkata, rampasan itu membabitkan 38 ekor disyaki burung luris leher, dua ekor burung murai batu dan sembilan ekor burung ruak-ruak, selain beberapa spesies burung lain yang dipercayai dilindungi.
Antara spesies lain yang ditemukan termasuk burung daun besar, punai tanah, kelicap kunyit, merbah kapur, bayan serindit, merbah jambul, bayan puling dan daun sayap biru.
“Keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM709,950 berdasarkan anggaran nilai yang ditetapkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu”, katanya.
Dalam operasi kira-kira jam 4.10 petang hingga 5.30 petang semalam, seramai tiga individu ditahan, membabitkan seorang lelaki dan dua wanita.
Operasi berkenaan dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Kuala Terengganu bersama PERHILITAN Negeri Terengganu dengan memeriksa enam kediaman di kawasan terbabit.
Pemeriksaan itu dijalankan bagi membanteras kegiatan penyimpanan hidupan liar dilindungi tanpa lesen serta penguatkuasaan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Operasi membabitkan seramai 24 anggota, terdiri daripada 10 anggota PPM Wilayah Tiga Kuala Terengganu dan Tasik Kenyir serta 14 pegawai PERHILITAN Negeri Terengganu.
Kesemua individu yang ditahan bersama barang kes dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, antaranya Seksyen 60(1)(a) dan Seksyen 68(1)(a), tertakluk kepada hasil siasatan PERHILITAN.
PPM Wilayah Tiga bersama agensi penguatkuasaan berkaitan akan terus memperkukuh kerjasama dan perkongsian maklumat risikan bagi mengekang kegiatan penyeludupan, pemilikan serta perdagangan hidupan liar secara tidak sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan