"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azalina terkejut peserta demo PR tidak dibayar?

Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Tohmahan bahawa peserta Himpunan Hijau Lestari Pengerang dibayar dengan masing-masing RM30.00 untuk hadir ke perhimpunan tersebut tidak mengejutkan, kata Riduan Mohd Nor.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS itu, sudah banyak kali perhimpunan aman Pakatan Rakyat ditohmah dengan pelbagai tuduhan negatif seperti itu.

"Bagi ahli-ahli Pakatan Rakyat mahupun pencinta demokrasi, tuduhan ini bersifat liar dan menggelikan hati.

"Mungkin juga ia adalah reaksi spontan dari golongan yang terkejut melihat rakyat sudah mulai bangkit dan bersuara menuntut hak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Datuk Seri Azalina Othman, Ahli Parlimen Pengerang sebelum ini yang berkata ribuan rakyat yang hadir ke Himpunan Hijau Lestari Pengerang minggu lalu adalah dibayar.

Mengulas lanjut Riduan berkata, Azalina sebenarnya tidak memahami bagaimana rakyat boleh bersatu untuk hadir ke perhimpunan ini meskipun tanpa dibayar upah sesen pun.

"Mungkin juga ujarnya Azalina telah lama bergelumang dalam politik pemerintah dan biasa bagi mereka mengupah penyokong mereka untuk hadir dalam perhimpunan yang mereka anjurkan.

"Bagi mereka, menjadi budaya peserta perhimpunan dibayar dengan pakej lengkap: duit poket, T Shirt percuma, penginapan, makanan, bas (pengangkutan) dan lain-lain.

"Tetapi bagi Pakatan Rakyat, menganjurkan perhimpunan tanpa bayaran menjadi asam garam dalam perjuangan," kata beliau lagi.

Realiti yang berlaku katanya, rakyat dengan kesedaran sendiri bangkit apabila merasakan diri mereka dizalimi.

Azalina ujarnya, elok mengemukakan bukti beserta dengan fakta kukuh dan mengajukan kepada SPRM untuk diadukan jika benar peserta tersebut dibayar.

"Belajarlah memahami realiti dan hidup bersama rakyat di bawah, supaya tahu erti kehidupan sebenar rakyat," katanya.

Tiada ulasan: