"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mantan KPN, Musa Hassan mengaku telah memfitnah Tan Sri Robert Phang

BERNAMA 
SHAH ALAM: Kes saman fitnah RM100 juta Pengerusi Yayasan Kebajikan Sosial Tan Sri Robert Phang Miow Sin terhadap Tan Sri Musa Hassan selesai selepas bekas Ketua Polis Negara itu mengemukakan kenyataan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi Sivil di sini hari ini.

Saman itu berhubung kenyataan fitnah yang didakwa dikeluarkan Musa dalam satu sidang media program anjuran Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) pada 10 Dis 2012. Ia mendapat liputan media sehingga sebuah portal berita memuat naik video mengenainya.

Musa dalam permohonan maaf itu mengakui dirinya telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Phang dan menarik balik kenyataan berkenaan serta menyesali tindakannya sebelum ini.

"Saya membuat permohonan maaf ini adalah bagi menjaga nama baik pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," kata Musa ketika ditemui di luar mahkamah di sini.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Rozana Ali Yusoff merekodkan penghakiman persetujuan itu dan memerintahkan Musa sebagai defendan membayar kos undang-undang sebanyak RM10,000 kepada plaintif (Phang) sebagai penyelesaian kes berkenaan.

Musa diwakili peguam Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, Datuk Rabinder Singh dan S. Selvarajah manakala Phang diwakili peguam S.N. Nair bersama K. Muralidharan dan Lee Wing Hong.

Pada 4 Jan 2013, Phang memfailkan saman RM100 juta terhadap Musa kerana didakwa mengeluarkan kata-kata seolah-olah plaintif tidak jujur, tidak boleh dipercayai dan tidak beretika, pada sidang media itu.

Phang turut mendakwa Musa juga mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya seorang pembohong, korup, telah melakukan kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara dan mempunyai kecenderungan mengganggu perjalanan serta pentadbiran PDRM dan pihak berkuasa lain.  

Tiada ulasan: