Kuala Lumpur: “Saya masih buntu memikirkan punca kehilangan anak gadis saya yang melarikan diri dari rumah dengan membawa adiknya yang masih bayi,” kata Siti Rohaida Yusof, 38.
Menurutnya, anaknya, Putri Umaimah Mohd Yusmi, 19, didakwa ‘ghaib’ bersama adiknya Umu Umairah berusia lima bulan sejak Isnin lalu.
Beliau berkata, ketika kejadian, dia bersama tiga anaknya menginap di rumah ibunya di Sungai Tangkas, Bangi, sebelum menyedari dua anaknya itu tiada di dalam bilik tidur kira-kira jam 2 pagi.
“Sebaik membuat pemeriksaan di dalam bilik, saya terkejut apabila mendapati hanya ada seorang saja anak saya yang sedang tidur. Sebaik mengejutkan anak saya itu, dia juga tidak menyedari bila kakak serta adiknya itu keluar dari bilik,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Katanya, dia yang bimbang apabila dua anaknya itu masih belum pulang kemudian melaporkan kehilangan mereka di Balai Polis Bangi dan Kajang pada hari sama.
“Saya dan keluarga cuba menghubunginya tetapi gagal. Telefonnya dimatikan. Selain itu, kami turut mencari di sekitar Kajang dan Kuala Lumpur termasuk rumah rakan-rakannya, tetapi tidak berjumpa,” katanya.
Katanya, anaknya itu baru sahaja berhenti kerja sejak beberapa minggu lalu dan banyak menghabiskan masa di rumah.
“Putri adalah anak sulung daripada enam beradik. Dia memang bukan jenis ‘kaki lepak’ dan keluar malam, malah dia yang sering menjaga adik bongsunya itu,” katanya.
Menurutnya, sebelum kejadian, anaknya itu bersikap dingin dan tidak seceria seperti sebelum ini.
“Saya rasa mungkin dia merajuk atau terasa hati mengakibatkan dia bertindak sedemikian rupa. Lebih membimbangkan, dia turut membawa adiknya itu sekali,” katanya.
Menurutnya, dia berharap mereka yang mengenali mahupun pernah ternampak Putri Umaimah dapat menghubungi suaminya, Mohd Yusmi di talian 0126420722.
-hmetro-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan