Sungai Petani: Seorang lelaki warga Indonesia yang hanya memakai tuala sambil diurut tukang urut wanita warga asing tergamam apabila pihak berkuasa menyerbu pusat urut di Lagenda Heights, di sini, kelmarin.
Serbuan terhadap dua pusat urut itu bermula jam 7 malam oleh sepasukan anggota Jabatan Imigresen Kedah berdasarkan maklumat awam selepas melakukan risikan.
Ketua Bahagian Penguat Kuasanya Mohd Shahrir Khalil berkata, pihaknya menahan lima wanita warga China dan Vietnam berusia 20 hingga 30-an dipercayai bekerja sebagai tukang urut, selain dua lelaki warga Indonesia termasuk seorang pelanggan yang sedang diurut.
“Ketika serbuan, 13 warga asing diperiksa, bagaimanapun hanya tujuh ditahan termasuk pelanggan yang diurut dan ada yang menunggu pelanggan.
“Kita tidak menghadapi masalah memasuki premis itu kerana risikan sudah dijalankan sejak lebih sebulan lalu bagi memastikan semua pekerja di kedua-dua pusat urut ini tidak dapat melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata, semua pendatang asing tanpa izin (Pati) itu ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas diberikan.
Menurutnya, pihaknya juga merampas kamera litar tertutup (CCTV) sebagai bahan bukti, selain memanggil pelanggan dan pemilik premis untuk memberi keterangan.
Katanya, mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
-hmetro-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan