Tranungkite
BARU hendak surut isu kontroversi pelakon berkemban dalam naskah arahannya, kini timbul cerita terbaharu melibatkan aktres dan pengarah tersohor, Erma Fatima.
Menerusi satu muat naik di laman Instagram baru-baru ini, banyak pihak menuduh Erma sengaja mempersenda dan menyindir institusi beraja Johor. Betul ke?
Kisahnya… tiga hari lalu Erma telah memuat naik gambar memaparkan seekor singa jantan memakai mahkota sedang duduk di atas takhta berlatar belakangkan langsir berwarna merah dan biru.
Susulan itu, masyarakat Johor terutamanya melahirkan perasaan tak puas hati dengan tingkah Erma yang disifatkan mereka sebagai melampau.
Apa yang membuatkan mereka ‘panas’ sebenarnya, caption yang ditulis Erma dikatakan memang dituju kepada institusi diraja Johor. Ianya berbunyi:
“Alangkah bertuahnya orang yang bernama…bertakhta…berpangkat dan berpingat… Bebas berkata…bebas membunuh budaya…bebas membodohkan sesiapa…
“Sesuka hati mempersendakan bangsa…dia peduli apa…yang peliknya…tinta-tinta perkasa pun menjadi kelu, lesu dan bisu…kalau si marhaen yang melakukannya…sudah pasti tinta-tinta akan menari-nari dengan lakaran berwarna warni…
“Tak muat bangunan KLCC gambaran cemuhan diberi…Ha ha ha. Hipokritnya manusia…”
Makanya, ruangan komen dilimpahi banyak teguran, tak kurang juga caci maki kerana Erma dianggap tidak sensitif dan biadab.
Walau bagaimanapun, dalam satu kenyataan di ruang sama, Erma menafikan dirinya mempunyai niat untuk menghentam mahupun menyindir mana-mana pihak menerusi gambar dan kapsyen berkenaan.
Bukan sahaja menepis andaian individu-individu yang mengecamnya, Erma turut bertegas tidak akan memadamkan gambar tersebut. Orang cakap, ‘berani kerana benar, takut kerana salah’.
Apa-apapun, tak usahlah kita buat andaian yang tidak sepatutnya kerana Erma berkemungkinan mempunyai metafora tersendiri menggunakan gambar dan ayat yang digunakan. Orang senilah kan…
-MYNEWSHUB.CC
1 ulasan:
Singa memanglah dikenali sebagai raja rimba, mana ada unsur penghinaannya? Lainlah jika gambar anjing atau khinzir yang digunakan, maka barulah jelas ada maksud menghina. Tetapi jika sensitif pada gambar seumpama itu, apa nak buat...kan?
Catat Ulasan