AZAMIN AMIN
TIDAK sedikit pun terlihat di raut wajahnya, kusam mahupun sugul. Sentiasa cergas dan tegas. Perasaannya disimpan kemas dan kejap. Yang terpamer, keredaaan dan semangat yang naik menjulang. Tidak berubah.
Sama malah lebih kuat dari dulu. Sewaktu memperjuangkan nasib rakyat dan rakan-rakan yang menjadi mangsa kezaliman akta tak bermata, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Tidak berundur walaupun seinci, bersama-sama suami Bad Latif Mansor ke sana kemari, melaungkan suara demokrasi dan membantah tekanan ke atas rakyat sendiri yang tidak berdosa.
Perjuangan yang lama, akhirnya membuahkan hasil yang bahagia. Akta, dimansuhkan setelah ramai melintasi derita.
Namun, ujian tuhan siapa yang menyangka, hikmah yang tidak terduga, Bad suami Nashita pula, menjadi mangsa. Kali ini, nama diberi atas akta yang lain pula.
Perjuangan mereka, masih sama, namun dipenjara atas alasan yang tidak boleh diterima. Ulang tayang cerita lama pemerintah yang tidak memberi peluang mereka yang mahukan keadilan dan kecewa dengan sekumpulan manusia yang melanggar peraturan negeri, sekali gus merampas sebuah kerajaan tanpa aturan yang ada dalam undang-undang negara.
Tidak siapa pun, akan melupakan kisah hitam, Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang memerintah selama 10 bulan, tiba-tiba ‘dirampas’ tanpa mandat.
Berpunca dari itu, rakyat sudah tidak tahan dengan gelagat yang semakin pedih dan menyakitkan jiwa, lalu membantah secara aman, sebuah demokrasi yang dilaung namun tidak dilaksanakan.
Kisah sedih dan mencengkam rasa terus menghimpit rakyat yang tidak berdosa. Kali ini, Nashita Md Noor menerima ujian yang cukup hebat menyentuh, naluri seorang suri dan menjadi galang ganti, ketua keluarga setelah suami, Bad dihukum penjara 10 bulan.
Dan tidak cukup sampai di situ, beberapa hari setelah suami di penjara, Nashita bangkit dan muncul semula memperjuangkan resah beban rakyat. Bukan lagi isu suami, di hadapan Wisma Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Selangor, petang 23 Mac, Nashita bersama rakyat membantah pelaksanaan GST.
Tidak tahan tekanan rakyat, penguasa mula melancarkan tangkapan dan skrip sama berulang kembali. Rakyat berjuang ditahan, termasuk Nashita yang disumbat ke dalam trak polis. Di dalam trak itu, ada hampir 30 lagi yang ditahan.
Mengujakan, tidak berkudiskan rasa gentar, masih, berada dalam trak Nashita tetap tenang menjawab soalan Harakah dari talian telefon bimbitnya. Bermula dengan tangkapan kasar pasukan keselamatan sehinggalah ke kisah perjuangan menuntut keadilan rakyat dan suami. “Azamin...saya tak tahu akan dibawa ke mana. Dalam trak ini ada dekat 30 orang. Di luar ramai yang kena kepung dan terus disumbat ke dalam trak,” katanya jelas.
Maaf, dari mana datang semangat juang yang tinggi puan, seperti tiada henti, soal saya yang melihat Nashita seperti tidak secebis rasa jemu atau mahu berehat seketika mengenang nasib 10 bulan tanpa suami.
“Suami saya pesan supaya terus berjuang dan saya juga tidak mahu pengorbanan suami dan lain-lain diabaikan dan didiamkan. Tidak ada apa yang boleh menutup bicara dan menahan semangat kami.
“Selagi ada kezaliman dilakukan ke atas rakyat, kita akan terus berjuang menentang dan melawan, itu prinsip yang saya pegang,” katanya tegas dan tuntas.
Ya, benar seperti luahan Nashita, yang menanggung derita rakyat dan rakyat jua berhak meluahkan rasa dan penyudahnya rakyat menjadi mangsa berganda, dihadiahkan oleh pemerintah dengan pelbagai tekanan, sekatan dan jua tangkapan.
Sedang berbicara dengannya, Nashita sempat mengepilkan sekeping gambar yang dihantar melalui WhatsApp dari telefonnya.
Benar, beliau berada di dalam trak polis bersama-sama yang lain.
Terkedu saya menatap. Ketabahan dan dugaannya cukup kuat. Di hatinya ada azimat yang terpahat, berjuang demi rakyat.
Beliau kemudian menitip katakata yang terasa membuatkan mata seperti hampir berkaca.
Wanita berjiwa kental, yang pernah disebut mutiara kata, yang mampu menanggung beban dunia.
Ya, sejak Harakah menyusuri perjuangan keadilan sejagat dan membela nasib rakyat, wajah Nashita sentiasa berada di manamana bersama suami, rakan-rakan dan pejuang rakyat yang lain.
Biarpun, Nashita tidak bersuara seperti yang lain, keberadaannya sudah cukup membuktikan bahawa dia sanggup bersusahpayah, mendepani badai yang menggila, walaupun Nashita kelihatan adakalanya diam, namun di hatinya penuh bara, melawan penguasa yang menyalahguna kuasa dan menghimpit rakyat jelata.
“Saya sudah rasa hidup susah. Saya tahu anak-anak dan rakyat akan terus susah jika GST dilaksanakan.
“Saya menjadi marah bila lihat pemimpin hidup mewah sedangkan negara dan rakyat dalam kesempitan,” katanya.
Ditanya soal harapan, dia menyatakan jika berpeluang menemui suaminya, khabar tentang perjuangan rakyat di luar sana akan dicerita untuk menaikkan semangat mereka yang dipenjara.
Ketika khusyuk menyelami isi hatinya, tiba-tiba Nashita memaklumkan talian hayat bateri telefonnya sudah sampai ke penghujungnya dan sebelum terpadam, beliau sempat membariskan ayat akhir sebagai menutup wawancara dari dalam trak polis.
“Saya akan terus berjuang walaupun suami saya terpenjara...” titipnya dan sehingga kisah ini ditulis jam 7.30 malam 23 Mac itu, tidak diketahui perkembangan atau keadaan Nashita yang terkini, pejuang wanita yang sentiasa mempertahankan dan membela nasib rakyat yang berterusan menjadi mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan