"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kontroversi selepas Sultan Johor beli hartanah RM24 juta di Perth, lapor akhbar

P. T SINGAM
Laporan akhbar The West Australian mengenai pembelian hartanah bernilai RM24 juta di Perth, Australia. – 21 Mei, 2015.
Laporan akhbar The West Australian mengenai pembelian hartanah bernilai RM24 juta di Perth, Australia. – 21 Mei, 2015.
Langkah Sultan Johor membeli sebuah hartanah pinggir sungai di Perth bernilai A$8.5 juta (RM24.21 juta) mencetuskan kontroversi di ibu negeri Australia Barat itu, menurut laporan The West Australian.

Ia melaporkan Sultan Johor muncul sebagai salah satu pihak terlibat dalam rancangan memulihkan Hospital Sunset yang bersejarah, selepas membayar A$8.5 juta untuk tanah seluas 1,993 meter persegi.

Hartanah itu berupa kediaman milik ketua jururawat yang meliputi hanya 2% daripada tapak hospital itu, dan hasil jualan tersebut akan disumbangkan bagi pembiayaan pembangunan semula bangunan hospital yang dikenalpasti sebagai warisan sejarah.

Ketua menteri Australia Barat, Colin Barnett mengalu-alukan jualan itu tetapi majlis perbandaran Nedlands mengulangi penentangannya yang sekian lama terhadap sebarang penjualan tanah, satu-satunya tanah bernilai tinggi yang tinggal di pinggir bandar.
Komen orang awam bercampur-baur, daripada yang berkata penjualan tanah itu akan mendekatkan Perth kepada Asia Tenggara, kepada yang menentang pembelian tanah di Australia oleh orang asing.

Akhbar itu berkata Sultan Johor atau wakilnya belum memberi komen mengenai rancangannya dengan tanah itu, tetapi spekulasinya adalah sebuah rumah agam akan dibina di situ menghadap Sungai Swan.

Mengenai Sultan Johor, Barnett memberitahu akhbar tempatan Community Newspapers: "Ia adalah pembeli yang menarik, bukan? Ia menambahkan sedikit perasa kepada cerita itu.

"Saya rasa beliau akan membina kediaman di sana tetapi siapa tahu? Beliau merupakan salah seorang daripada pembida dan beliau membida dengan harga yang tepat. Tiada sebarang syarat khas, tidak ada tawaran istimewa."

Datuk Bandar Nedlands, Max Hipkins berkata A$8.5 juta tidak mencukupi untuk membangunkan tapak itu.

"Ada beberapa tanah di sana yang mungkin boleh dijadikan tempat penginapan jangka pendek dan menyediakan aliran pendapatan untuk Sunset," katanya kepada The West Australian.

Komen daripada pembaca bernama John di laman web Community Newspapers berkata: "Warga asing tidak boleh dibenarkan membeli hartanah di Australia. Mereka boleh sewa beli sehingga 25 tahun. Kita perlu pastikan Australia dimiliki oleh warga Australia bukan warga asing..."

Manakala seorang lagi, Charlotte berkata: "Warga asing tidak dibenarkan membelinya. $ yang berkuasa akan memundurkan negara ini."

Dalam laman web Perth Now, Johannes berkata: "Bagus, ia memperkukuhkan hubungan kita dengan Asia Tenggara."

Hartanah yang dibeli Sultan Johor itu sebahagian penempatan bagi golongan miskin yang dibina pada tahun 1904 untuk menempatkan 750 orang.

Selepas 39 tahun, ia menjadi rumah jagaan Hospital Sunset sebelum ia ditutup pada tahun 1995.

Tapak itu masih terbengkalai walaupun banyak rancangan pembangunan. - 21 Mei 2015.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: