"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli PAS dengar penerangan Ustaz Ahmad Awang sembunyi-sembunyi (video)

Baru memulakan kempen penerangan, bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang berkata, dia berdepan dengan pelbagai kesukaran sama ada secara langsung atau tidak.
Kata beliau, ketika mengadakan majlis penerangan ada sesetengah ahli PAS datang secara sembunyi-sembunyi kerana bimbang dituduh melanggar arahan pihak atasan.

"Ada di sesetengah tempat apabila kami datang mereka (ahli PAS) beritahu mereka hadir secara berahsia sebab mendapat arahan daripada pimpinan negeri supaya jangan hadir," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini hari ini.

Ahmad yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Perak itu bagaimanapun berkata, sekatan dan sabotaj kepada programnya adalah perkara biasa.

Ahmad, 79, mengesahkan bertanding untuk mengisi jawatan Presiden PAS bersama Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar).

Pertandingan dalam muktamar bulan depan adalah yang pertama dalam sejarah PAS sejak lebih 50 tahun lalu.

Abdul Hadi menjadi presiden apabila Datuk Fadzil Nor meninggal dunia pada Julai 2002.

Ditanya mengapa ada sesetengah pimpinan mengeluarkan arahan sedemikian, Ahmad berpendapat, ia terjadi apabila masih lagi ahli parti menganggap mencabar presiden tidak dibenarkan dalam berjemaah.

"Selepas 30 tahun, sesetengah daripada mereka (ahli PAS) melihat bahawa jawatan presiden ini adalah jawatan yang tak boleh ditukar (oleh orang lain) selagi dia (presiden) masih hidup. Ada yang berfikiran begitu.

"Presiden belum pernah ditandingi lagi, mungkin sebab itu mereka berfikiran begitu. Kerana mengambil kiasan bahawa khalifah Islam tidak boleh dicabar dan diganti melainkan mati atau hilang kelayakan.

"Sedangkan (PAS) ini parti politik dan bukan kerajaan yang ada khalifah Islam. Parti politik ada perlembagaan yang termaktub dan presiden boleh dicabar (jawatannya)," katanya.

Keadaan itu juga, kata beliau disebabkan sesetengah pihak berasa taasub kepada presiden.

-malaysiakini-

Tiada ulasan: