"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

20 soalan yang mesti ditanya oleh penyiasat isu 1MDB - A. Kadir Jasin

 A. Kadir Jasin, bekas ketua pengarang New Straits Times berkata unsur  penipuan, subahat, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kealpaan tanggungjawab korporat dan pecah amanah ialah antara isu yang wajib dirungkaikan para penyiasat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Mei, 2015.
A. Kadir Jasin, bekas ketua pengarang New Straits Times berkata unsur penipuan, subahat, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kealpaan tanggungjawab korporat dan pecah amanah ialah antara isu yang wajib dirungkaikan para penyiasat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Mei, 2015.
Pihak berkuasa yang menjalankan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu melihat 20 persoalan yang masih belum terjawab, daripada urusan sebenar syarikat pelaburan negara itu sehingga individu berpengaruh yang terlibat di dalamnya, kata Datuk A. Kadir Jasin.

Bekas ketua pengarang New Straits Times itu berkata, persoalan itu harus diambil perhatian agensi yang terlibat dalam kertas siasatan 1MDB iaitu pejabat Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen.

"Unsur penipuan, subahat, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kealpaan tanggungjawab korporat dan pecah amanah ialah antara isu yang wajib dirungkaikan para penyiasat supaya yang bersalah dibawa ke muka pengadilan dan duit serta aset negara yang digunakan ke atas 1MDB diperoleh semula.

"Kesan sistemik skandal 1MDB wajib disekat dan dihadkan demi melindungi ekonomi negara," katanya dalam blognya semalam.
Katanya, lebih ramai individu yang berkaitan 1MDB wajib dijejaki bagi mengetahui bagaimana krisis kewangan serta ketidaktelusan 1MDB boleh berlaku di depan mata dan hanya baru-baru ini sahaja terbongkar.

"Kalau kita tak buat sesuatu dengan segera untuk atasi masalah 1MDB, ia akan muflis dan kita serta anak cucu akan tanggung beban dan bala yang dahsyat.

"Masalahnya sekarang bukan lagi sama ada 1MDB perlu di'bailout' (diselamatkan) tapi sejauh mana kita melaksanakan proses itu dan belanja yang terpaksa kita keluarkan," katanya.

Menyenaraikan 20 soalan yang wajib ditanya dan didapatkan penjelasan oleh para penyiasat, Kadir berkata, siasatan perlu dimulakan terhadap peranan wang royalti minyak dan gas Terengganu dalam urus niaga Terengganu Investment Authority (TIA).

"Apakah peranan wang royalti minyak/gas negeri Terengganu dalam urus niaga TIA apabila ia ditubuhkan pada tahun 2008?

"Adakah benar sejumlah besar wang royalti minyak/gas Terengganu (berjumlah berbilion ringgit) dimasukkan ke dalam sebuah bank tempatan sebagai persediaan menggerakkan TIA?" katanya.

Katanya, soalan itu perlu dikemukakan kepada bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tan Sri Azlan Zainol, Presiden Sime Darby Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, dan pengarah pengasas TIA yang juga CEO Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail.

"Adakah benar Bakke menarik diri atau digugurkan daripada Lembaga Pengarah 1MDB kerana tidak bersetuju dengan urus niaga yang membabitkan PetroSaudi?" soal Kadir seterusnya.

Wajib juga katanya, ditanyakan kepada Bakke dan ahli lembaga pengarah lain, termasuk Lodin dan Ismee, mengenai kemunculan Jho Low sebagai ejen 1MDB.

Beliau juga mahu pihak berkuasa menyiasat sama ada hartawan T Ananda Krishnan memberi pinjaman RM2 bilion kepada 1MDB bagi membayar balik hutang kepada Maybank dan RHB Capital.

Juga, mengenai namanya yang digunakan untuk menyembunyikan hakikat sebenar yang wang itu datangnya daripada Perbendaharaan atau sumber-sumber kerajaan yang lain.

Katanya, siasatan perlu dibuat membabitkan Ananda dalam penjualan penjana elektrik bebas (IPP) miliknya kepada Edra Global Energy, anak syarikat milik penuh 1MDB.

Kadir mendakwa mendapat maklumat terbaru mengatakan andaian Ananda mendahulukan RM2 bilion kepada 1MDB mungkin songsang.

"Ananda terlalu licik dan pintar untuk mengambil risiko sebesar itu. Ini ada kena mengena dengan penilaian (valuation) harta Edra yang dikatakan sangat berbeza," katanya.

Beliau turut mempersoalkan peranan bekas pengerusi dan pengarah urusan Goldman Sachs di Malaysia, Datuk Yusof Annuar Yaacob, dalam urusan pinjaman 1MDB yang mewujudkan konflik kepentingan yang serius.

"Apabila Goldman Sachs mengatur penjualan AS$4.75 bilion (kira-kira RM17.1bilion pada nilai sekarang) bon 1MDB dalam dua 'tranche' pada tahun 2012-2013, Yusof adalah pengerusi dan pengarah urusan Goldman Sachs di Malaysia.

"Mengikut agensi berita ekonomi Bloomberg, Goldman Sachs mendapat komisen AS$500 juta (kira-kira RM1.8 bilion).

"1MDB membayar yuran ASS$196.2 juta bagi bon bernilai ASS$1.75 bilion yang diterbitkan pada bulan Mei 2012 dan AS$283.2 juta bagi bon bernilai AS$3 bilion pada bulan Mac 2013," katanya.

Kadir berkata, Yusof kini ialah ketua pegawai negeri Deustche Bank bagi Malaysia dan bank itu sedang menuntut agar 1MDB membayar lebih awal hutang bernilai AS$975 juta (RM3.5 bilion) yang diaturnya tahun lalu.

Katanya, agensi siasatan juga perlu mengkaji perhubungan yang disifatkannya satu pelakuan "sumbang muhrim" antara 1MDB, Tabung Haji dan Felda, serta peranan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) dalam tiga entiti ini.

"Apakah peranan dan pendirian Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam hal-hal yang melibatkan hutang dan pergerakan wang 1MDB yang sudah pun menyebabkan nilai ringgit jatuh?" soalnya.

Beliau juga mahu Jho Low dan seorang lagi ahli perniagaan, Deepak Jaikishan, disiasat sama ada mereka mengenali satu sama lain memandangkan kedua-duanya rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, serta kaitan Low dengan Felda.

"Soalan-soalan di atas, dan banyak lagi soalan lain yang berkaitan dengan 1MDB dan pihak yang berkuasa ke atasnya, wajib ditanya oleh para penyiasat," kata Kadir.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: