"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS dan UMNO di Kelantan: "Hari ini saya tolong cik Rohani, esok-esok cik Rohani tolong saya pula..

Mohd Sayuti Omar
Rombakan kabinet yang dilakukan Najib Razak dua bulan lalu yang ikut sama terlantiknya Pengerusi Yayasan Dakwah (Yadim) Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri sedikit sebanyak sebagai memberi saguhati kepada parti agama, Pas di atas sikap lunak parti itu dengan Umno sejak ke belakangan ini.
Pas atau mereka yang berada dalam parti itu khasnya di Kelantan tentu rasa gembira dengan perlantikan Asyraf itu. Bagi mereka perlantikan Asyraf itu bolehlah dianggap sebagai termakhbulnya sebuah doa. Pas sangat berharap akan ada orang dalam Umno atau kerajaan yang berminat dengan Hudud.

Jaminan dengan air mata yang dibuat oleh Adun Kok Lanas Md Alwi Che Ahmad kononnya akan menyokong Hudud benar-benar merujakan Pas dan menyebabkan parti itu seronok dengan permainan itu. Jaminan Alwi diambil sebagai satu perangkap dan pengharapan oleh Pas?

Speaker DUN Kelantan Abdullah Yaakub dalam satu kenyataan akhbar berharap dengan perlantikan Asyraf Wajdi akan membantu Kelantan melaksanakan hukum Hudud.

Reaksi Abdullah itu menunjukkan kehadiran Asyraf ke dalam kabinet Najib seakan membuka sinar baru kepada parti itu. Ini berlaku tentunya kerana beliau melihat kepada latar belakang, profesionalisme dan ilmu yang ada kepada timbalan menteri itu. Abdullah tentu mengira Asyraf Wajdi sebagai intelektual muda Islam tidak akan bercakap mengarut mengenai Hudud sebaliknya akan memperjuangkannya.

(Tetapi kalau Abdullah membaca sirah ayahanda, Asyraf, Dusuki Ahmad, mungkin harapan dan pengharapan itu tidak setinggi itu, kerana Dusuki adalah antara "oknum" Umno yang memperli dan mencaci Hudud di Kelantan sebagai Hudud Pas semasa Dusuki berkerja dengan Dr Mahathir Mohamad dulu).

Selain Abdullah, tentu juga orang paling gembira dengan perlantikan Asyraf Wajdi itu ialah Menteri Besar Kelantan Ahmad Yaakub dan juga timbalannya Mohd Amar Nik Abdullah. Ahmad sudah tentu mengharap kehadiran Asyraf itu membawa sesuatu yang lebih bermakna lagi buat dirinya secara peribadi dan juga kerajaan dipimpinnya. Bukan kerana Asyraf orang sekampung dan ada bau-bau bacang dengannya, tetapi Asyarf akan dikira menjadi jurubicara mengenai Hudud di JPM.

Orang seperti Asyraf diharap akan menjadi mediator dan lecturer kepada kabinet Najib mengenai keperluan dan kepentingan Hudud. Sebagai seorang anak muda berpendidikan Islam dan dari latar belakang keluarga ulama ulung di Kelantan Asyaraf dikira dapat memainkan peranan itu.

Bagi MB Kelantan itu keperluan atau tuntutan Hudud perlu segera dilaksanakan di Kelantan bukan kerana untuk mengelakkan kian tebalnya dosa-dosa dan tanggungjawab pemerintah kerana tidak laksana hukum Allah. Tetapi beliau ada masalah peribadi dengan Hudud ini.

Ahmad dan juga Mohd Amar kini terdesak dengan kelambatan Hudud dilaksanakan. Sebab itulah Mohd Amar dalam satu kenyataan dipetik berkata sekiranya Rang Undang-Undang persendirian mengenai Hudud yang hendak dibawa ke Parlimen gagal dibentangkan, Pas akan berperang dengan Umno. Kenyataan Mohd Amar itu menunjukkan Umno seperti sudah memberi komitmen tinggi kepada Pas tentang Hudud.

Maksudnya Pas sangat mengharapkan bantuan dan kerjasama Umno untuk mencapaikan hasratanya yang satu ini. Waktu ini Pas atau kerajaan negeri Kelantan masih terkial-kial untuk meminda Akta 355 berhubung bidang kuasa Mahkamah Syarikah bagi membolehkan Hudud dilaksanakan di Kelantan.

Kenapa dikatakan Ahmad Yaakub dan Mohd Amar terdesak kini? Dalam satu sidang DUN Kelantan Ahmad bertegas dia akan sedia kehilangan jawatan MB sekiranya hukum Hudud gagal dilakasanakan di Kelantan pada tahun 2015. Ahmad berjanji Hudud akan dilaksanakan pada tahun ini. Kenyataan Ahmad itu merupakan satu ketegasan dan ditunggu-tunggu oleh rakyat Kelantan apakah dia akan melaksanakan tanggungjawab itu atau sebaliknya. Ertinya kalau Hudud masih tidak dilaksanakan di Kelantan pada tahun ini, dia harus berundur.

Tahun 2015 hanya tingga kira-kira dua bulan lebih sahaja lagi. Situasi inilah menghantuhi beliau. Seluruh mata di Kelantan sedang mencerlung ke arah Ahmad Yaakub. Apakah helah bakal digunakan Ahmad untuk kekal tercatuk di kerusi MB kalau pun Hudud tidak dilaksanakan.

Bagi melepas daripada sumpah janji ini, Ahmad melihat Asyraf dilihat orang yang boleh membantunya dan juga maruah kerajaan Kelantan. Dengan kedudukan beliau sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dan diberi tugas khas agar meneliti mengenai pelaksanana Hudud di Kelantan dan juga pindaan Akta 355, peranan dan sumbangan Asyraf Wajdi sangat diperlukan.

Kalau tidak silap, Asyraf Wajdi pernah mengeluarkan satu kenyataan selepas dilantik ke dalam kabinet, antara tugas utamanya meneliti pelaksanakan Hudud di Kelantan serta menjadi Hudud sebagai agenda nasional kementeriannya. Dalam hal ini beliau akan mendalami bidang kuasa Akta 335 itu serta berusaha memberi pencerahan mengenai kepentingan Hudud kepada kabinet Najib dan juga dalam Umno sendiri. Tentu tugas Asyraf sangat berat kerana kepentingan dan keperluan Hudud ini dalam Umno sendiri masih gelap gulita.

Kenyataan tegas Najib mengatakan "no hudud in Malaysia" menjelaskan pendirian dan sikap sebenar Umno. Manakala kata-kata Nazri Aziz membicarakan Hudud di Malaysia sebagai bodoh menunjukkan penerimaan Umno kepada Hudud.

Persoalannya kini sejauh manakah Asyraf Wajdi telah memainkan peranananya membantu Pas dalam proses melaksanakan Hudud itu. Peringkat awal, apakah beliau sudah berusaha membolehkan ahli parlimen Pas membawa usul persendirian mengenai Rang Undang-Undang Hudud di Parlimen pada sessi parlimen akan datang. Sebelum ini sudah dua kali Rang Undang-Undang persendirian mengenai Hudud itu dibawa oleh Presiden Pas Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang, tetapi tidak lepas.

Umum sedia maklum Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan (Hudud) yang diluluskan pada tahun 1993 tidak dapat dilaksanakan apabila ia terhalang oleh bidang kuasa Mahkamah Syariah. Apa yang menjadi masalah bidang kuasa itu boleh diluaskan dengan membuat pindana ke atas Akta 355. Manakala akta ini pula boleh dipindaan dengan persetujuan 2/3 Parlimen.

Dua faktor besar untuk meminta akta ini. Pertama ianya memerlukan sokongan 2/3 angota Dewan kerana ia membabitkan Perlembanggan, dan kedua ia memerlukan persetujuan Yang Di-Pertuan Agong kerana bidang kuasa agama terletak di bawah institusi berkenaan.

Sebelum dibawa ke parlimen, apakah Asyraf Wajdi atau mana-mana pihak berkuasa kerajaan sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong memohon perkenaan berhubungan cadangan bakal dibuat itu sebagai tindakan pemula? Sehingga ini tidak terdengar apa-apa kenyataan mengenai hal itu daripada Asyraf Wajdi. Mungkin juga beliau sudah menghadap Yang di-Pertua Agung cuma maklumatnya belum diumumkan lagi. Kononnya untuk melakukan surprise.

Ahmad dan Mohd Amar sangat mengharapkan bantuan dan komitmen timbalan menteri baru ini. Mungkin mereka berdua sudah tidak menunggu lagi kepada jaminan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Bahrum. Sebelum ini Jamil Khir pernah memberi jaminan di Parlimen yang kerajaan sedia menyokong Rang Undang-Undang Hudud Pas itu. Tetapi apa yang berlaku, usahkan Jamil sendiri untuk membawa rang undang-undang itu (sepatutnya), apabila dikemukakan kepada Speaker pun ia ditolak.

Justeru harapan besar Ahmad Yaakub dan Mohd Amar kini terletak ditangan Asyraf Wajdi. Bukan sahaja untuk menjamin perkara yang disebutkan dalam manifesto pilihan raya PAS itu dilaksana, tetapi bagi Ahmad Yaakub yang penting baginya mengelakkan dia terancam dengan janji dan tanggungjawabnya, akan kehilangan jawatan. Ahmad mengharap Asyraf akan menjadi budak cerdik di Kelantan untuk menyelamatkan maruahnya.

Bagi Asyraf Wajdi pula dia perlu membantu Ahmad yang dalam keadaan kritikal saat ini. Bukan sahaja untuk memastikan MB itu terus memimpin Kelantan, yang menjadi pemudah cara kepada kerjasama Umno - Pas, tetapi untuk kepentingan dirinya sendiri juga. Asyraf perlu menyedari mungkin dia juga memerlukan bantuan dan pertolongan daripada Pas dan Ahmad Yaakub untuk survive politiknya.

Kedudukannya kini, (pelantikan menjadi timbalan menteri adalah diatas kapasitinya sebagai Senator) menyebabkan jangka hanyat hanya dua penggal atau enam tahun sahaja. Kalau Asyraf berhasrat untuk melonjak menjadi menteri, beliau memerlukan sebuah kerusi Parlimen. Kedudukan di kerusi Senator adalah sebagai sementara sahaja.

Hakikat untuk mendapat kerusi di Kelantan bukan perkara mudah. Asyraf dalam percubaan pertamanya untuk menjejaki Parlimen telah tewas dalam pilihan raya umum ke-12. Kekalahan ditangan Kamaruddin Jaafar yang bertanding atas tikit PAS, telah mengenalkan Asyraf dengan dunia dan "renyeh-renyeh" politik sebenarnya. Asyraf kalah dengan 9,377 undi.

Sekiranya Asyraf ingin mencuba di kerusi parlimen Tumpat sekali lagi, ini adalah masa terbaik. Yang pastinya lawan Asyraf bukan lagi Kamaruddin. Sekiranya Asyraf berjaya menyelamatkan maruah Ahmad dengan Hudud itu, rasanya tidak ada masalah kalau Ahmad dan Pas Kelantan memberi laluan mudah kepada Asyraf di kerusi parlimen Tumpat atau mana-mana kerusi di Kelantan sebagai membalas budi. Pas boleh sahaja tidak meletakkan calon, dan Asyraf Wajdi akan berhadapan dengan calon Amanah di mana keadaan itu memudahkannya menang.

Apa yang Asyraf Wajdi kena lakukan kini ialah membantu Ahamd Yaakub untuk menunaikan janjinya melaksanakan Hudud di Kelantan. Apa yang diucapkan oleh P Ramlee dalam filem "Madu Tiga" kepada Rohani, yang berbunyi; "hari ini saya tolong Cik Rohani, esok-esok Cik Rohani tolong saya pula" perlu dipraktikan. Itulah baru dikatakan politik.
http://msomelayu.blogspot.my/

1 ulasan:

Abdul Said berkata...

Kerana kuasa dan harta dunia pelbagai kemungkinan boleh dan akan berlaku. Semangat kebangsaan dan ugama hanyalah sebagai alat sahaja. Yang kolot, yang tidak tahu berfikir, yang tidak berilmu dan yang hidup untuk seronok dan makan akan mudah dimangsakan!!