"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS, Umno memang adik-beradik, kata Mahathir

PRK SG KANDIS | Antara kritikan utama Pakatan Harapan (HARAPAN), terutama Tun Dr Mahathir Mohamad, terhadap PAS adalah parti itu berkerjasama dengan Umno.

Ia selepas PAS tidak mahu bersama-sama HARAPAN untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru dengan BN pada PRU lalu, bagi mengelakkan perpecahan undi pembangkang yang sering berlaku pada PRU sebelum ini.

Hari ini ketiadaan calon PAS dalam PRK Sungai Kandis tidak terlepas daripada sindiran perdana menteri itu.

Bagi Mahathir, tindakan PAS tidak meletakkan calon - seterusnya mengelakkan pecahan undi - menunjukkan hubungan kedua-dua parti pembangkang itu.

"Memang dia (PAS dan Umno) adik-beradik," katanya ringkas ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Ampang, Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS mahu memberi laluan mudah kepada Umno berdepan HARAPAN pada PRK itu yang akan dijalankan 4 Ogos ini.

Terdahulu, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan berbincang dengan PAS untuk meletakkan seorang saja calon pembangkang pada PRK itu bagi memastikan saingat sengit terhadap PKR.

Dua hari lalu, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (gambar) mengumumkan PAS bersedia memberi laluan kepada Umno untuk bertanding.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan ketika dihubungi Malaysiakini menjelaskan ia bukan bermakna parti itu berkerjasama dengan Umno

“Kita putuskan tidak bertanding dan kebetulan Umno yang bertanding, jadi mungkin atas dasar-dasar lainnya kita rasa di DUN Selangor memerlukan wakil daripada pembangkang, jadi biar satu sahaja parti pembangkang yang masuk. Kita tak bertanding PRK Sungai Kandis atas beberapa sebab, justifikasi," katanya.

Beliau juga berkata PAS masih belum memutuskan sama ada akan membantu Umno sepanjang tempoh berkempen PRK itu.

PRK Sungai Kandis menyaksikan calon PKR Zawawi Mughni berdepan dengan calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas K. Murthy.

Ia diadakan selepas penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi menang kerusi itu dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Datuk Kamaruzzaman Johari (BN), Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan Hanafiah Husin (PRM).
-malaysiakini

Tiada ulasan: