"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Husam jadi tetamu kehormat MB Kelantan

Faizal Ghazali

Selepas sekian lama terpinggir daripada kerajaan Kelantan, Naib Presiden Amanah Husam Musa hari ini tampil berkongsi pentas sebagai tetamu kehormat bersama Menteri Besar, Ahmad Yakob.

Hadir memenuhi jemputan penganjur majlis pelepasan misi dagang Jelajah Dewan 80: Road To Aran 2019 anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kelantan (DPMMNK) di Kota Bharu hari ini, kehadiran bekas exco kanan Kelantan itu turut diraikan Ahmad.

Walaupun kelihatan sedikit janggal, Husam dilihat bersahaja dan profesional untuk berada di kawasan 'musuh politik' beliau.

Ahmad dalam ucapan perasmiannya turut mengalu-alukan kehadiran Husam sebagai wakil kerajaan persekutuan atas kapasitinya pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Malah ketika acara pelepasan konvoi Road To Aran, Ahmad bertindak mengajak Husam untuk berada di sampingnya.


Mereka kelihatan mengambil kesempatan untuk berbual-bual ringkas dan turut makan semeja.

Sementara itu ketika diminta reaksinya mengenai kemunculan di program itu, Husam menyifatkan ia sebagai suatu pengalaman menyeronokkan dan berharap hubungan dua hala seperti itu dapat berterusan walaupun kedua-dua mereka tidak lagi sehaluan dalam politik.

"Saya hadir atas jemputan... kalau ada jemputan, dari dulu lagi saya akan hadir.

"Misalnya dulu ada debat mengenai baiah, walaupun tiada jemputan rasmi (daripada penganjur ceramah PAS) saya tetap hadir kerana ada jemputan dibuat melalui Facebook.

"Tapi kalau tak ada jemputan saya tak bolehlah hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong," katanya secara sinis dan bersahaja.

Pada 21 Februari 2017 Husam mengejutkan banyak pihak khususnya PAS apabila tampil dalam satu ceramah bertajuk "Husam Lari Dari Debat Baiah" di Kota Bharu.

Majlis ceramah itu diadakan sebagai penjelasan kepada orang ramai mengenai sikap bekas exco Kelantan yang pernah dipilih ahli PAS sebagai naib presiden parti itu.

Tanpa diduga banyak pihak, tiba-tiba kelibat Husam muncul di ceramah itu dan mengambil tempat di pentas ceramah dengan duduk di barisan kerusi di belakang pentas.

Baca Husam didakwa lari tapi dia 'mari'

Husam berada di situ untuk beberapa ketika sambil mendengar ucapan yang mengecam dirinya.

Bagaimanapun beliau tidak diberikan peluang untuk berucap di majlis yang menampilkan penceramah handalan PAS termasuk Nassuruddin Daud.

Mengulas lanjut Husam yang sebelum ini pernah menjadi naib presiden PAS berkata beliau berharap pada masa akan datang kedua-dua pihak boleh jemput-menjemput, saling ziarah menziarahi dan berbincang demi kepentingan rakyat secara bersama.

"Tak ada kekok apa, rasa seronok majlis macam ini, " katanya.

Untuk rekod di peringkat parti Ahmad ialah timbalan mursyidul am PAS.

Tiada ulasan: