"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tidak pernah iktiraf nikah online, Majlis Agama Islam Narathiwat siasat isu Timbalan Menteri

MALAYSIA DATELINE

Pihak Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat Thailand tidak pernah mengiktiraf pernikahan secara dalam talian.

Timbalan Yang di-Pertuanya, Abdul Aziz Che Mamat berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan susulan dakwaan majlis akad nikah secara dalam talian membabitkan seorang Timbalan Menteri di negara ini.

Menurutnya, siasatan terbabit termasuk memanggil seorang imam Masjid Kedai Baru, Sungai Golok yang menjalankan majlis nikah itu.

“Kita akan panggil imam itu, untuk dapatkan maklumat, ita akan tanyakan perkara itu, kerana majlis agama tidak bagi kebenaran nikah menggunakan telefon (online),” lapor Astro Awani.

Sejak semalam, tular rakaman pernikahan melalui telefon yang didakwa membabitkan seorang Ahli Parlimen Kelantan dari Pas berserta dua saksi.

Video dan salinan sijil nikah tular di media sosial itu mengundang kecaman ramai kerana melangsungkan pernikahan ketika rakyat bergelut dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sijil nikah itu turut memaparkan maklumat berkenaan tarikh pernikahan pada 1 Jun lalu dengan pasangan yang berusia 20-an.

Wakil rakyat itu turut menyerahkan mas kahwin sebanyak RM11,111 kepada isteri mudanya yang dikatakan berasal dari Selangor.

“Dia berkahwin menggunakan wali hakim dari Thailand dan pendaftaran kahwin pun di sana,” kata sumber lapor Kosmo! semalam.

Tiada ulasan: