"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Timbalan Menteri nikah online: Mahu berpoligami silakan tapi hormati undang-undang

ARIFF BASHIRUDDIN

Angkatan Wanita Amanah Negeri Kelantan (AWAN) mengecam tindakan seorang Ahli Parlimen Pas merangkap Timbalan Menteri yang disifatkan tidak mematuhi undang-undang negara apabila tular videonya melakukan akad nikah secara dalam talian menggunakan ejen nikah dari Thailand.

Ketua AWAN Kelantan Dr Hafidzah Mustakim berkata, selaku seorang Ahli Parlimen, bahkan memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri yang merupakan sebahagian dari badan eksekutif negara, pemimpin Pas wajar memberi teladan yang baik kepada rakyat.

“Tindakan Timbalan Menteri itu bernikah secara online menggunakan jurunikah dari Thailand jelas tidak diiktiraf oleh undang-undang negara kita,” tegasnya.

“Lebih memalukan negara kita apabila Majlis Agama Islam Narathiwat Thailand sendiri tidak mengiktiraf pernikahan online itu.

“Jelas Timbalan Menteri ini sudah buat banyak kesalahan,” kata Dr Hafidzah lagi.

Baru-baru ini tular rakaman pernikahan melalui telefon membabitkan seorang Ahli Parlimen Kelantan dari Pas berserta dua saksi ketika ramai rakyat pada masa ini bergelut dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Salinan sijil nikah wakil rakyat Pas yang juga tular di media sosial itu memaparkan maklumat berkenaan tarikh pernikahan pada 1 Jun lalu dengan pasangan yang berusia 20-an.

Bagaimanapun, Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat Thailand berkata, pihaknya tidak pernah mengiktiraf pernikahan secara dalam talian.

Ekoran itu, siasatan susulan dakwaan majlis akad nikah secara dalam talian membabitkan Timbalan Menteri terbabit akan dijalankan.

Mengulas lanjut, Dr Hafidzah berkata, AWAN Kelantan tiada sebarang masalah jika Timbalan Menteri itu mahu berpoligami.

Walau bagaimanapun, katanya, sebagai seorang anggota pentadbiran kerajaan persekutuan, Timbalan Menteri itu wajib menunjukkan sikap pematuhan kepada undang-undang negara sekalipun dalam keadaan terdesak untuk menambah isteri lagi.

“Mahu berpoligami, silakan. Semua pun maklum para pimpinan Pas ini memang terkenal bab tambah isteri, tapi jangan pula sampai langgar undang-undang negara,” ujar Dr Hafidzah.

“Sudahlah gagal laksana tanggungjawab dalam kementerian, sampai rakyat yang berniaga di RTC (Pusat Transformasi Luar Bandar) Tunjong kini bergelut dalam kesusahan dan kerugian akibat lambakan hasil pertanian yang tidak dapat dijual.

“Tapi walaupun ada Timbalan Menteri dari negeri sendiri, tugas hakiki diabaikan, kepentingan peribadi pula diutamakan, sampai tergamak bernikah tidak ikut peraturan,” bidas Dr Hafidzah.

Sehubungan itu, beliau turut mempersoalkan sejauhmana Pas boleh dipercayai untuk melaksanakan hukum Islam jika pimpinan parti itu sendiri sewenangnya melanggar peraturan dan hukum pernikahan demi melampiaskan kepentingan nafsu peribadi.

Tiada ulasan: