"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kalau menang PH akan siasat Muhyiddin belanja RM500 bilion - Adly Zahari

Hassan Omar

bhnews@bh.com.my

MASJID TANAH: Pakatan Harapan (PH) akan menjalankan siasatan terperinci terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana didakwa membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik COVID-19, dua tahun lalu.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata PH akan berbuat demikian sekiranya berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Kita janji akan menjalankan siasatan terhadap perkara itu kerana walaupun Muhyiddin menyatakan wang berkenaan adalah untuk menghadapi COVID-19, kita akan lihat daripada semua aspek.

"Jika ada penyelewengan, kita akan ambil tindakan pendakwaan kerana ia adalah wang negara," katanya selepas berceramah di Kampung Ujong Padang, di sini, malam tadi.

Selain Adly yang juga calon PH Parlimen Alor Gajah, turut berceramah calon PH Parlimen Masjid Tanah, Mutalib Uthman.

Terdahulu, Adly dalam ceramahnya berkata, peruntukan terbabit amat besar dan meskipun dikatakan untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada pandemik COVID-19, ia perlu disiasat.

Sementara itu, Adly yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, parti PAS tidak memiliki kekuatan di negeri itu sama seperti di Johor dan Negeri Sembilan.

"Jadi kita yakin PAS yang berada dalam Perikatan Nasional (PN) tidak akan diberikan tempat pada PRU15," katanya.

Tiada ulasan: