"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahathir: Kenapa penyelesaian saman pecat Apandi jadi rahsia, dia tak layak diberi sebarang pampasan

Malaysiakini

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad "bingung" dengan keputusan Putrajaya untuk tidak mendedahkan butiran penyelesaian saman dengan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali berhubung pampasan bagi pemecatannya itu.

“Saya bingung dengan keputusan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman untuk menjadikan tuntutan pampasan oleh Apandi itu sebagai rahsia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Dr Mahathir merujuk kepada terma-terma penyelesaian berhubung kes saman ke atas dirinya dan kerajaan yang dimaklumkan telah dikelaskan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Apandi, bekas peguam negara semasa kerajaan Najib Razak, telah membuat tuntutannya secara terbuka. Malah dia menyatakan jumlah yang dituntutnya itu iaitu sebanyak RM2.23 juta.

“Tetapi pampasan yang dibayar oleh kerajaan dijadikan rahsia. Kenapa? Saya ada sebab untuk mengetahuinya kerana saya rasa dia tidak layak diberi sebarang pampasan,” kata Mahathir.

Pada 14 Februari lalu, Azalina dalam jawapan bertulis di parlimen berkata, bahawa kes sivil itu telah diselesaikan di luar mahkamah atas persetujuan kerajaan tanpa sebarang pengakuan liabiliti.

Azalina memaklumkan perkara itu bagi menjawab soalan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah pampasan yang dibayar kerajaan kepada Apandi apabila kerajaan menyelesaikan kes saman itu.

Menurut Azalina semasa rundingan penyelesaian dijalankan, pihak-pihak kepada guaman ini, khususnya pihak Plaintif, yang diwakili oleh Tetuan Shukor Baljit and Partners, dan Jabatan Peguam Negara bersetuju agar terma-terma penyelesaian dirahsiakan dan tidak didedahkan kepada pihak umum.

Katanya, selaras dengan persetujuan tersebut, semua komunikasi berhubung dengan rundingan penyelesaian serta terma-terma penyelesaian yang dipersetujui telah dikelaskan sebagai rahsia.

Semasa Mahathir menjadi perdana menteri ketika pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini, dia telah memecat Apandi pada Jun 2018 apabila siasatan 1MDB rancak dijalankan.

Pada 13 Okt 2020, Apandi memfailkan saman terhadap Mahathir dan kerajaan atas dakwaan penamatannya sebagai peguam negara itu dibuat secara tidak sah

Pada 13 April 2022, Apandi dan kerajaan mencapai penyelesaian secara baik berhubung tuntutan itu.

Mahathir sejak itu menegaskan bahawa dia membuat keputusan tepat dalam memecat Apandi dan perkara itu dilakukan mengikut prosedur.

“Saya terkejut membaca berita mengenai penyelesaian di luar mahkamah yang dibuat antara kerajaan dan Apandi baru-baru ini.

"Saya tidak dimaklumkan mengenai penyelesaian itu walaupun saya adalah saksi utama," kata pemompin itu apabila mendapat tahu tentang  berita mengenai penyelesaian itu tersebar.

Dalam maklum balasnya, Peguam Negara Idrus Harun berkata bahawa Mahathir telah dimaklumkan mengenai penyelesaian itu.

“Saya hanya boleh mengesahkan bahawa Mahathir menulis baru-baru ini untuk mendapatkan maklumat mengenai syarat penyelesaian. Saya sudah menjawab untuk memaklumkannya mengenai syarat penyelesaian,” kata Idrus.

Apandi juga berkata Mahathir tidak berhak untuk mempersoalkan penyelesaian itu walaupun Mahathir dinamakan sebagai pihak dalam samannya.

Tiada ulasan: