"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Maut ketika cuba larikan diri selepas ragut telefon

ADNAN IBRAHIM
 
 
SEORANG lelaki maut apabila kereta Proton Wira yang dinaikinya bersama seorang rakan hilang kawalan dan bertembung dengan Kereta Perodua Axia di Parit Jalil, Batu Pahat.
BATU PAHAT: Tindakan seorang lelaki dan rakannya yang cuba melarikan diri selepas mencuri  telefon bimbit milik pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) bertukar tragedi semalam. 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang di Jalan Parit Jalil, dekat sini, mangsa berusia 43 tahun dan rakannya berumur 39 tahun yang memandu kereta Proton Wira dikejar oleh pemandu Mazda CX5 yang diragut mereka sebelum itu.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, lelaki yang memandu Mazda CX5 berusia 31 tahun hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kereta Proton Wira yang dikejarnya.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu kereta Proton Wira dipercayai hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Axia dinaiki sepasang suami isteri yang datang dari arah bertentangan,” katanya di sini hari ini.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah  meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakannya hanya cedera ringan. 

Pasangan suami isteri itu turut  cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), manakala pemandu Mazda CX5 tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987  dan saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Asma’i Md. Yusuff menerusi talian 013-6550128. – UTUSAN

Tiada ulasan: