"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu langgar 6 kereta ditahan positif ganja

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang melanggar enam kenderaan sebelum kereta dipandunya terbalik di Lebuhraya Bukit Jalil, Sabtu lepas, ditahan kerana memandu di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Cheras, Zam Halim Jamaluddin, berkata dalam kejadian 10.30 pagi berhampiran Bulatan Lumba Kuda itu, suspek yang memandu kenderaan jenis Lexus hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar enam kenderaan lain sedang berhenti di lorong kiri dan kanan jalan.

“Kemalangan itu bagaimanapun hanya menyebabkan kerosakan kenderaan terlibat dan tidak melibatkan sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan ujian air kencing mendapati dia positif ganja.

“Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM15,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Tiada ulasan: