Emylia Rosli & Amiera Solihan
Noorazlan Ismail berjalan dari Johor Bahru ke Istana Negara di Kuala Lumpur dalam usahanya memohon kerajaan membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pemandu teksi itu memulakan perjalanan dari tol Skudai, Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) pada 28 Mac dan tiba di Istana Negara pada 3 April lengkap dengan kot serta songkok.
Perjalanannya kira-kira 312 kilometer (km) yang hanya mengambil masa selama enam hari itu menjadi perbualan orang ramai dan pada masa sama tidak sedikit yang meraguinya.
Bapa kepada lima orang anak itu memuat naik perjalanannya setiap hari di media sosial tetapi berhenti mengemas kini pada 30 Mac ketika sampai di kawasan rehat dan rawat (RnR) Machap, Melaka.
Ia menambahkan lagi keraguan ramai terhadap perjalanan yang dibuatnya.
Berdasarkan kemas kini di media sosial, Noorazlan, 49, mengambil masa tiga hari untuk menyelesaikan perjalanan kira-kira 60km dari tol Skudai hingga RnR Machap.
Itu bermakna dia hanya berjalan secara purata sejauh kira-kira 20km bagi setiap hari.
Dengan jarak dan kelajuan sama, perjalanan yang berbaki kira-kira 252km ke Istana Negara kelihatan tidak munasabah apabila turut mengambil masa tiga hari.
Berdasarkan kiraan, dia memerlukan masa selama kira-kira 12 hari untuk tiba di Istana Negara jika dia menggunakan kelajuan sama yang digunakan dari Skudai ke Machap.
Kalaupun dia mempercepatkan kelajuan untuk sampai dalam tempoh tiga hari, dia perlu menghabiskan kira-kira 84km setiap hari.
Jika dikira kelajuan biasa berjalan kaki iaitu 14 minit setiap km, dia memerlukan kira-kira 19 jam sehari.
Noorazlan ketika di Istana Negara
Ini bermakna dia hanya berbaki lima jam sehari untuk tidur, berehat, makan-minum, beribadah dan membuang air.
Ia belum mengambil kira faktor umur, cuaca panas-lembap Malaysia, struktur jalan raya berbukit dan kesesakan jalan raya.
Tambahan lagi perjalanan itu dilakukan ketika bulan puasa.
Mengikut faktor umur Noorazlan yang dianggap veteran itu, dia boleh dikira tidak mampu untuk menghabiskan keseluruhan perjalanan dalam masa enam hari kecuali jika dia memang berpengalaman dalam sukan berjalan atau larian jarak jauh seperti ultramaraton.
Ketika pelakon Sharifah Sofia Syed Hussein, 36, berjalan dalam kempennya menyelamatkan harimau Malaya daripada pupus pada tahun lalu, dia mengambil masa sembilan hari untuk melengkapkan perjalanan sejauh 235km dari Taman Negara, Pahang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Selepas sampai di Kuala Lumpur, Noorazlan "secara kebetulan" berjumpa dengan wakil tiga NGO dan Ahli Parlimen PN Wan Saiful Wan Jan yang ingin menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara yang sama.
Wan Saiful menegaskan pertembungan itu bukan dirancang sebaliknya atas kehendak Allah.
"Ini semua benda-benda tak dirancang. Alhamdulillah dari segi susunan tu nampak cantik, Allah bantu kita.
“Dengan jadualnya hari ni, walau tak dirancang tapi dia jadi tersusun.
"Dari datang ke Istana Negara, kemudian pergi ke parlimen. Kebetulan (ahli parlimen) Machang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) ada bawa usul untuk bahaskan walaupun ditolak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan