"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Awas ‘scammer’ ibadah korban

Mohd Anuar Ramli 

Di mana ada peluang, di situ ada ruang bagi jenayah dilakukan. Golongan penjenayah sangat kreatif dalam menjalankan aktiviti jenayah dan penipuan hatta dalam ibadah. Ini termasuklah penyusupan aktiviti jenayah dalam rantaian ibadah korban. 

Apabila ada peluang dan ruang, para penjenayah cuba untuk menerobos masuk ke dalam rantaian ibadah korban. Ini disebabkan mereka sentiasa mengintai peluang untuk menjana keuntungan dan mendapatkan manfaat di sebalik aktiviti jenayah yang dilakukan. 

Kebiasaannya, kealpaan dan kecuaian pihak-pihak sering menjadi peluang kepada penjenayah. 

Dalam keghairahan umat Islam melaksanakan ibadah korban sebagai simbol meraikan bulan zulhijjah, terdapat pihak yang mengambil kesempatan dalam melakukan jenayah dalam rantaian ibadah korban yang dijalankan. 

Betapa liciknya, mereka mencuri ruang dalam ibadah korban yang dijalankan pihak lain tanpa memikirkan soal dosa dan pahala. Aktiviti ini berlaku setiap tahun, semakin menjadi-jadi dan membimbangkan.  

Biasanya, aktiviti jenayah ini bermula dari ladang sehinggalah sampai ke tangan pengguna. Ia merangkumi jenayah penipuan pakej, penukaran haiwan dan penyeludupan haiwan ternakan, orang tengah yang menipu, penjual ternakan yang tamak dan, pencurian dan penjualan haiwan ternakan yang dicuri. 

Selain itu terdapat juga peserta korban yang berkira dan kedekut. Mereka inginkan haiwan yang elok dan besar tetapi dengan harga murah. Biasanya merekalah menjadi mangsa sasaran penjenayah. 

Dalam penipuan pakej ibadah korban, terdapat beberapa modus operandi yang menjadi pilihan penjenayah atau penipu. Di antaranya adalah pakej yang tidak wujud, menawarkan harga yang sangat murah, mereka tidak menyembelih haiwan korban tetapi menggunakan haiwan korban orang lain sebagai bukti sembelihan. 

Jadi mereka memanfaatkan seekor haiwan untuk berbilang nama peserta korban. Seringkali berlaku juga adalah haiwan yang ditempah dan dijanjikan berbeza daripada haiwan yang diterima oleh peserta korban sama ada dari segi jenis, warna dan saiz haiwan. 

Apa yang lebih membimbangkan adalah apabila pihak penyedia pakej tidak menjelaskan kontrak-kontrak yang terlibat dalam ibadah korban, jadi risikonya ibadah korban boleh jadi tidak sah. 

Pada dasarnya, pelaksanaan ibadah korban bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dalam surah al-Kauthar ayat 2, Allah SWT berfirman: 

“Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu, dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).”

Dalam hadis Nabi SAW, Baginda bersabda: 

“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai oleh Allah selain daripada mengalirkan darah (haiwan korban). Sesungguhnya ia (haiwan korban itu) akan datang pada Hari Kiamat kelak dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada (reda) Allah sebelum titisan darah itu jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kalian dengan berkorban.” (HR al-Tirmizi) 

Namun begitu, aktiviti jenayah yang menyusup dalam rantaian ibadah korban adalah bertentangan dengan ketetapan Syarak malah mencemari kesucian ibadah dalam bulan Zulhijjah. Sedangkan ia adalah bulan untuk melipatgandakan amal ibadah. 

Allah SWT telah menjelaskan tentang kelebihan bulan haram (Zulhijjah) dalam firmanNya pada surah al-Taubah ayat 36: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. 

Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya).  

Al-Baghawi dalam kitab tafsir Ma’alim al-Tanzil menjelaskan perkataan “menzalimi” adalah melakukan kemaksiatan dan meninggalkan ketaatan. 

Beliau menukilkan pandangan Qatadah bahawa perbuatan baik (amal salih) lebih besar pahalanya di dalam bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab), malahan perbuatan zalim (maksiat) pada bulan tersebut juga adalah lebih besar dosanya dari bulan-bulan selainnya.  

Apa yang jelas perbuatan penipuan dalam apa juga bentuknya adalah termasuk dalam perbuatan zalim, iaitu maksiat dan dosa. Dosanya berlipat ganda dalam bulan haram. 

Bukan umat Nabi

Selain itu, Nabi Muhammad SAW dengan tegas menolak golongan yang menipu dari kalangan umatnya. Sabda Nabi SAW: 

“Sesiapa yang menipu kami, dia bukan dari kalangan kami.” (HR Muslim).  

Tegasnya, perbuatan menipu atau aktiviti jenayah dalam rantaian ibadah korban adalah dilarang dan ia termasuk dalam perbuatan maksiat dan dosa. Malahan rezeki yang diperoleh adalah tidak berkat dan haram. 

Jika peserta korban yang mengetahui dan terlibat dalam aktiviti jenayah ini, mereka telah bersubahat bersama. 

Di samping itu, pihak yang menguruskan korban perlu berhati-hati dalam mengelola ibadah korban kerana ia melibatkan ibadah orang ramai. Haiwan yang dijual beli perlulah haiwan yang jelas, haiwan yang sihat, bukan haiwan curi, seludup atau berpenyakit. 

Di samping itu, dalam melaksanakan ibadah korban, ia melibatkan niat, akad atau kontrak bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban. Para penyedia pakej korban dan para peserta korban perlu jelas dalam perkara yang akan dilakukan kerana ia berkait rapat dengan kesahan ibadat korban. Mereka tidak boleh mengambil mudah. 

Antaranya adalah, urusan akad jual beli haiwan korban atau mewakilkan kepada pihak untuk pembelian, niat untuk berkorban haiwan, dan menyembelih sendiri haiwan korban atau mewakilkan sembelihan kepada tukang sembelih. Komponen hukum ini perlu jelas bagi pihak yang ingin melaksanakan ibadah korban. 

Sehubungan itu, jangan cemari rantaian ibadah korban dan kemuliaan bulan Zulhijjah dengan aktiviti jenayah yang melibatkan haiwan korban sama ada dari aspek sumber haiwan korban dan pakej-pakej ibadah korban yang ditawarkan. 

Ini disebabkan korban yang dilaksanakan adalah bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jika dicampuri dengan perkara syubhat dan jenayah, ia boleh merosakkan ibadah korban yang dilakukan. 

MOHD ANUAR RAMLI merupakan profesor madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my. Artikel ini adalah sebahagian daripada dapatan kajian yang didanai oleh Apium (UMG 026L-2022). 

Tiada ulasan: