"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM: Judi dalam talian ‘dinaungi’ lebih seorang ahli politik

FMT Reporters

PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan aktiviti judi dalam talian dinaungi pemimpin politik, mendapati ia melibatkan lebih daripada seorang ahli politik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, bagaimanapun berkata maklumat berhubung identiti atau parti politik disertai suspek tidak boleh didedahkan kerana pihaknya masih menjalankan siasatan.

“Kita sedang siasat perkara ini. Laporan (ahli politik lindungi kegiatan judi haram) baru dibuat dalam bulan lepas, jadi kita masih lagi mengumpul maklumat.

“Kita tak boleh dedahkan siapa ahli politik berkenaan, tapi saya boleh sahkan siasatan memang sedang dijalankan. Kalau terbukti, ia adalah satu kesalahan.

“Ada beberapa (ahli politik) dalam kalangan mereka (yang disyaki menaungi kegiatan judi haram), tapi saya tak boleh kata ramai atau tidak kerana nanti dimanipulasi banyak pihak.

“Itu (parti kerajaan atau pembangkang) pun saya tak boleh nak kata. Ahli politik itu, ahli politiklah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Integriti Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah ahli politik disyaki terbabit melindungi kegiatan judi dalam talian, seperti didedahkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat.

Saifuddin sebelum ini mendedahkan ada kegiatan perjudian dalam talian dinaungi pemimpin politik selain mendakwa pihak yang menyediakan platform perjudian dalam talian itu boleh mengaut keuntungan sekitar RM200 juta seminggu.

Tiada ulasan: