'Pengelap kaki': Khairuddin minta ketua pemuda PAS bertaubat
Malaysiakini
Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno, Mohd Khairuddin Aman Razali meminta seorang pemimpin PAS supaya bertaubat selepas menyamakan BN seperti “kain buruk pengelap kaki”.
Meskipun tidak menyebutkan nama pemimpin berkenaan, Mohd Khairuddin jelas merujuk ucapan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari pada Konvensyen Pilihan Raya PN di Shah Alam, semalam.
"Menghina bukan akhlak muslim jauh sekali sebagai mukmin apatah lagi akhlak seorang yang mengaku pejuang Islam.
"Menghina parti lain yang pernah menjadi rakan kerjasama atas nama Islam dan Melayu sebagai "kain buruk pengelap kaki" adalah akhlak yang sangat buruk dari seorang yang dipanggil ustaz.
"Apa keuntungan dunia yang dikehendaki daripada penghinaan ini? Menarik perhatian ahli kononnya seorang yang hebat berpidato? Atau menarik sokongan rakyat dalam PRN dengan menghalalkan penghinaan yang diharamkan oleh Islam?" katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Semalam, Ahmad Fadhli berkata Umno-BN kini hanya dijadikan "kain buruk" untuk mengelap kaki oleh salah sebuah parti dalam kerajaan iaitu DAP.
Ahmad Fadhli berkata demikian merujuk kenyataan bekas ahli parlimen DAP, Tony Pua yang menggelarkan Umno-BN sebagai sebuah 'pakatan korup'.
"Ertinya pada pandangan DAP, Umno umpama kain buruk yang digunakan untuk mengelap kaki ketika basah... Apakah bahasa saya kasar? Saya tak nak bermusuh dengan ahli-ahli Umno. Maknanya apa? Maknanya kamu (Umno) tunggu masa hendak dibuang ke longkang," kata Ahmad Fadhli.
Sambil mengingatkan Ahmad Fadhli dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 11, Khairuddin meminta pemimpin PAS itu bertaubat dan berpolitik dengan akhlak sebagai seorang Islam.
"Saya menyeru ustaz ahli parlimen ini untuk bertaubat kepada Allah kerana Allah menyeru kepada taubat daripada menghina dan merendahkan sesama muslim dan memohon maaf atas penggunaan kata-kata bidalan yang hodoh ini agar tidak menjadi ikutan kepada anak-anak muda yang dipimpin oleh beliau.
"Jangan malu untuk bertaubat dan memohon maaf," katanya yang juga bekas pemimpin PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan