"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin, ahli MUDA yang enggan bersama Syed Saddiq diajak sertai DAP

Ilah Hafiz Aziz
illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: DAP hari ini mempelawa pemimpin dan ahli Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang tidak bersetuju dengan pendirian kepemimpinannya bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak, untuk menyertai komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

Ketua Biro Pilihan Raya DAP Selangor, Rajiv Rishyakaran, berkata MUDA kini berpecah dalam membuat keputusan, sama ada bersama Pakatan Harapan (PH) atau bertanding solo.

Susulan itu, beliau mempelawa sekiranya pihak yang menolak pendirian untuk bertanding secara solo itu, menyertai DAP menjelang PRN nanti.

"Saya sedar kepimpinan MUDA berpecah, sama ada kekal bersama PH atau bertanding secara solo dan ia juga bukan suatu keputusan yang mudah.

"Dengan rasminya, saya mengalu-alukan kepimpinan dan ahli MUDA yang mahu kekal bersama PH untuk menyertai DAP bagi menghadapi PRN," katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Beliau yang juga bekas ADUN Bukit Gasing berkata, keputusan mengajak MUDA menyertai mereka itu adalah bagi memastikan undi tidak berpecah dan memberi manfaat kepada Perikatan Nasional.

"Beberapa kerusi di Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan akan dipertandingkan dengan sengit dan ia akan ditentukan oleh segelintir pengundi, untuk menentukan siapa pemenangnya.

"Membahagikan undi akan memberi kelebihan PN," katanya.

MUDA hari ini menyatakan pendirian akan bertanding solo di enam negeri yang akan diadakan dalam tempoh terdekat ini secara sendirian.

Pendirian itu membuatkan MUDA bakal bertembung dengan PH yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional yang dianggotai oleh PAS, BERSATU dan GERAKAN.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu, MUDA yang ketika ini berada di blok kerajaan, sudah beberapa kali memohon menyertai PH sebagai ahli gabungan tetapi sehingga kini tidak mendapat sebarang maklum balas.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ketika mengesahkan langkah terbaharu itu, menegaskan MUDA bertekad membawa suara rakyat dan memperkenalkan politik baru yang menjauhi amalan lapuk.

Tiada ulasan: