"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cabul penyanyi wanita, lelaki direman 3 hari

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki direman kerana disyaki mencabul kehormatan seorang penyanyi wanita dalam kejadian di festival di Dataran Nilai, Negeri Sembilan, malam tadi.

Ketua Polis Nilai, Abdul Malik Hasim, berkata dalam kejadian 11.05 malam, penyanyi berusia 26 tahun itu pada awalnya memberi kebenaran kepada suspek untuk berswafoto.

“Namun, sejurus selesai (berswafoto) suspek bertindak menarik dan menggenggam tangan dan seterusnya mencium tangan.

“Terkejut dengan tindakan lelaki tersebut, pengadu terus menjerit dan lelaki tersebut melarikan diri, namun berjaya ditangkap pihak penganjur sebelum diserahkan kepada anggota polis bertugas di festival berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kejadian berlaku ketika penyanyi itu berada di bilik VVIP, terletak di belakang pentas Dataran Nilai.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.

Malik berkata, siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

“Permohonan reman ke atas suspek dibuat di Mahkamah Majistret Seremban dan reman diluluskan selama tiga hari hingga 28 Jun,” katanya.

Tiada ulasan: