"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jakim amat khuatir tindakan ‘hukum’ pihak lain tak sehaluan

FMT Reporters

PUTRAJAYA: Tindakan mengeluarkan pandangan dan kenyataan bersifat menghukum pihak tidak sealiran fahaman dan ideologi, dikhuatiri boleh mencetuskan bibit perpecahan yang lebih serius serta mengancam keselamatan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hakimah Mohd Yusoff, pihaknya amat khuatir dengan perkembangan berkenaan yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat dan mencemar kesucian ajaran Islam.

“Selaku Sekretariat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) serta badan yang diberi amanah dalam menjaga dan memelihara kesucian agama Islam di negara ini, Jakim amat khuatir dengan situasi ini.

“Sayugia diingatkan bahawa negara ini mempunyai pihak yang berautoriti dalam mengeluarkan pandangan hukum atau fatwa mengenai sesuatu perkara yang perlu dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Jakim menyeru semua pihak agar menjaga dan memelihara keharmonian hidup bermasyarakat berbilang kaum, agama dan ideologi dalam negara demi mencapai matlamat membina negara sejahtera selaras prinsip Maqasid Syariah, katanya.

Hari ini, pendakwah Syeikh Zainul Asri Romli menjelaskan ucapannya yang didakwa menyamakan musuh PAS sebagai “musuh Allah” dalam Himpunan Kedah Berselawat Sabtu lalu, tidak ditujukan kepada parti politik atau kumpulan tertentu.

Beliau berkata, ucapan itu disalah tafsir konon ia merujuk kepada parti politik yang melawan PAS sebagai “musuh Allah”.

Hari ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Zainul mengaku membuat kesilapan mendakwa Tuhan akan mempertahankan Kedah yang dipimpin PAS daripada “musuh Allah”.

Katanya, polis bagaimanapun akan menyambung siasatan terhadap pendakwah itu memandangkan laporan terhadapnya sudah dibuat.

Semalam, FMT melaporkan seorang wakil pusat media Pakatan Harapan membuat laporan polis terhadap Zainul atas dakwaan menyamakan musuh PAS sebagai “musuh Allah” ketika berucap dalam himpunan itu.

Dalam laporan dilihat FMT, pengadu Muhammad Yahaya mendakwa Zainul dalam ucapannya berkata beliau berharap “Allah akan mempertahankan Kedah daripada dijatuhkan musuhNya” dan Islam akan menang.

Tiada ulasan: