"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Wanita lemas jatuh bot, suami dan anak saudara hilang

FMT Reporters
Lokasi kejadian di Sungai Kelantan di mana seorang wanita ditemui lemas, manakala suami dan anak saudaranya hilang selepas terjatuh bot. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang wanita ditemui lemas, manakala suami dan anak saudaranya hilang selepas terjatuh bot di Sungai Kelantan, Kampung Kutan Hulu, Tumpat, petang semalam.

Wanita itu dikenali Nor Awadah Sulong, 30, manakala mangsa hilang ialah Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, dan Amrullah Fitri Afendi, 10.

Anak perempuan pasangan itu yang berusia 14 bulan, Wan Nur Ameena Wan Muhamad Najmi terselamat dalam kejadian kira-kira 6.45 petang.

Ketua Polis Tumpat, Amran Dolah berkata kejadian dipercayai berlaku ketika keluarga terbabit menaiki bot untuk bersiar-siar sebelum enjin terpadam secara tiba-tiba menyebabkan mangsa terpelanting ke dalam sungai.

“Ahli keluarga mangsa yang berada di tebing sungai segera ke lokasi menaiki bot dan menyelamatkan mangsa wanita serta bayi perempuan terbabit, sebelum dibawa ke tebing.

“Bagaimanapun, mangsa wanita disahkan meninggal dunia, manakala bayinya selamat dan mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat,” katanya menurut Berita Harian.

Amran berkata, operasi mencari dan menyelamat malam tadi hanya membabitkan pemantauan di permukaan sungai, manakala selaman akan dijalankan pagi ini bagi mencari dua mangsa hilang.

Tiada ulasan: