"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Agus Yusoff: PAS paling banyak buat fitnah

Malaysiakini 

PAS merupakan parti politik paling banyak membuat fitnah dan terkait dengan saman di mahkamah, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Mohammad Agus Yusoff.

Menulis di Facebook, Mohammad Agus menyenaraikan permohonan maaf dibuat pemimpin PAS selepas melakukan sesuatu dakwaan kepada musuh politik mereka.

Antaranya, permohonan maaf oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria kepada Anwar Ibrahim kerana mendakwa perdana menteri itu membawa agenda songsang LGBT dan menyokong agenda komunis.

Menurutnya pada 22 Jun lalu, Adun Kubu Gajah, Khalil Yahaya memohon maaf kerana mendakwa perdana menteri melantik ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai pengerusi Felda.

Terbaru pada 25 Jun lalu, katanya, akhbar Harakah Daily pula memohon maaf kerana mendakwa bekas ahli DAP, Mohamed Razali Abd Rahman pernah menjadi penasihat khas Lim Guan Eng.

"Jika hendak disebutkan, senarai fitnah PAS paling banyak," kata Mohamad Agus yang turut menyenaraikan kes saman fitnah terhadap pemimpin PAS sejak 2017.

Agus berkata sebagai sebuah parti Islam, PAS sepatutnya membawa akhlak yang baik dan bukannya membuat persepsi serta tanggapan tanpa bukti.

"Tidak setuju, kritiklah. Jangan berkempen berunsur fitnah, perkauman, penghinaan dan unsur-unsur yang bercanggah dengan nilai Islam," katanya.

Menurutnya, perbuatan itu menjadi semakin berleluasa setiap kali menjelang pilihan raya.

Tambahnya, PH dan BN merupakan parti paling kerap difitnah dengan tujuan menakutkan rakyat supaya tidak menyokong kerajaan perpaduan sekarang.

Misalnya, katanya, DAP didakwa mengancam kedudukan Melayu-Islam, dituduh mahu menukar Malaysia menjadi republik serta menghapuskan raja berperlembagaan dan Islam sebagai agama rasmi.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pemimpin PAS, Mohammad Agus berkata tugas ulama sepatutnya menjadi contoh dan teladan kepada bukan Islam.

"Kerja ulama menyeru orang supaya beriman, jauh dari mungkar, buat kebaikan. Tunjukkan contoh kepada bangsa lain dengan akhlak yang baik supaya Islam dipuji dan dihormati.

"Demi generasi masa depan, hentikan politik fitnah. Ia budaya politik kotor dan keji.

“Fokus kepada usaha membina Malaysia yang lebih baik," katanya yang menyeru golongan muda menolak politik fitnah.

Tiada ulasan: