FMT Reporters
Dalam kejadian di Ipoh, tengah hari tadi, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah tercampak masuk ke dalam sebuah MPV selepas berlanggar dengannya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah tercampak masuk ke dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas berlanggar dengannya dalam kejadian di Ipoh tengah hari tadi.
Dalam kejadian pada 12.35 tengah hari di Jalan Tambun berhampiran Taman Industri Halal Mara itu, Mohd Farid Mohd Yusoff, 35, yang menunggang motosikal jenis Kawasaki, maut di lokasi.
Pemandu Proton Exora berusia 45 tahun yang terbabit cedera dan dirawat di Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Menurut Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan, nahas dipercayai berlaku apabila MPV yang datang dari arah Ipoh menghala ke Tanjung Rambutan ingin membelok ke kanan, masuk ke Jalan Pinggiran Perpaduan 1.
Pada masa sama, motosikal ditunggang Mohd Farid dari arah bertentangan tidak sempat membrek, menyebabkannya melanggar MPV terbabit di bahagian pintu penumpang hadapan.
Yahaya berkata, pelanggaran itu menyebabkan Mohd Farid tercampak masuk ke dalam MPV itu yang kemudian hilang kawalan lalu terbabas di tepi jalan.
“Selepas perlanggaran, MPV itu mula terbakar tetapi berjaya dipadamkan dengan bantuan orang awam menggunakan pemadam api,” katanya, lapor Berita Harian.
Punca kejadian masih dalam siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan