"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes saman fitnah: Anwar, Sanusi diarah kemuka hujahan bertulis

Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini mengarahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengemukakan hujahan bertulis sebelum atau pada 26 Julai ini, berkait saman fitnah difailkan Perdana Menteri.

Hujahan bertulis berkenaan berhubung bantahan Anwar terhadap permohonan Sanusi supaya Mahkamah Tinggi menentukan persoalan berkaitan pengampunan yang diberikan kepada Ahli Parlimen Tambun itu, lima tahun lalu.

Sanusi juga memohon mahkamah untuk menentukan persoalan undang-undang, sama ada sesuatu pengampunan diberikan Yang di-Pertuan Agong di bawah kuasa yang diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, berupaya mengetepikan sabitan jenayah.

Bantahan itu berkait saman fitnah difailkan Anwar terhadap Sanusi pada 13 Disember tahun lalu berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan Perdana Menteri dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah 'Jelajah PN Best Tambun'.

Peguam Anwar, Datuk SN Nair ketika dihubungi pemberita, memaklumkan arahan untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Alor Setar, VK Neethiya Nair pada pengurusan kes saman itu, hari ini.

Katanya, mahkamah juga mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan jawapan kepada hujahan bertulis itu selewat-lewatnya pada 9 Ogos ini dan tarikh pengurusan kes lanjut ditetapkan pada 14 Ogos.

Yang turut hadir pada prosiding itu ialah peguam, Jaden Phoon Wai Ken yang mewakili Anwar, manakala peguam, Adam Luqman mewakili Sanusi.

Dalam afidavit jawapan kes saman itu yang difailkan 25 April lalu, Anwar menyatakan bahawa permohonan Sanusi bagi menentukan persoalan itu adalah di luar bidang kuasa mahkamah.

Menurut Presiden PKR itu, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 181, memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan adalah kuasa yang tetap dan tidak terjejas.

Beliau menegaskan, pelbagai kes diputuskan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang mendukung prinsip perundangan itu apabila memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh mengesahkan apa-apa keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, ia termasuk keputusan untuk memberikannya pengampunan, yang secara langsung membuktikan bahawa mahkamah tidak mempunyai apa-apa bidang kuasa untuk berbuat demikian.

"Selaras dengan pengampunan itu, saya diampunkan secara penuh dan segala keburukan ke atas diri saya, termasuk rekod mahkamah adalah diketepikan dan apa-apa kenyataan yang menyentuh perkara sama adalah fitnah serta boleh diambil tindakan," katanya.

Anwar dalam pernyataan tuntutan melalui saman itu, mendakwa kenyataan fitnah berkenaan, antaranya membawa maksud beliau mendapat pengampunan melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan.

Tiada ulasan: