FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu mengecam Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) kerana mengeluarkan kompaun terhadap seorang wanita bukan Islam susulan “berpakaian tidak sopan”, selain menganggap tindakan itu “salah dan menyalahi undang-undang.”
Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang dan Perlembagaan Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latiff, berkata MPKB “tidak mempunyai kuasa untuk mengawal pakaian atau moral”.
“Pertama, Seksyen 34(2)(b) Peraturan-peraturan Perdagangan dan Perindustrian 2019 adalah tidak sah, kerana ia melebihi kuasa diberikan kepada majlis bawah Seksyen 102 Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk membuat peraturan-peraturan kecil.
“Seksyen 102 Akta Kerajaan Tempatan hanya membenarkan majlis membuat peraturan-peraturan kecil yang berkaitan dengan ‘kesihatan, keselamatan, dan kesejahteraan’,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, New Straits Times melaporkan seorang pemilik perniagaan berusia 35 tahun diberikan notis oleh MPKB semasa pemeriksaan di kedainya kerana mengenakan kemeja-T dan seluar pendek di tempat awam.
Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin, dilaporkan berkata, wanita itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 34(2)(b) Peraturan-Peraturan Perdagangan dan Perindustrian 2019, yang menyatakan bahawa pemilik perniagaan bukan Muslim dan pekerja bukan Muslim mesti memakai “pakaian sopan”.
Menurut notis kompaun yang tular di media sosial, wanita tersebut mempunyai tempoh tujuh hari menyelesaikan denda atau berdepan tindakan undang-undang.
Sasha juga mendakwa bahawa perkataan “sopan” dalam Seksyen 34(2)(b) adalah kabur dan boleh ditafsirkan secara berbeza.
Sasha Lyna Abdul Latiff.
“Adalah tidak adil untuk mengenakan denda kepada wanita tersebut apabila definisi kesalahan tidak jelas,” katanya yang menambah standard dikenakan ke atas wanita Islam, iaitu menutup aurat, tidak boleh terpakai kepada bukan Muslim.
Sasha berkata, untuk membuktikan pakaian tersebut “tidak sopan” memerlukan tahap ketidaksopanan tertentu yang melebihi sekadar memakai kemeja-T dan seluar pendek, seperti separuh bogel.
“Ini jelas bukan kes di sini,” katanya.
Beliau berkata, langkah terbaik adalah majlis tempatan membatalkan saman itu dan menangguhkan operasi Seksyen 34(2)(b) sementara menunggu ulasan pihak berkuasa negeri atau exco.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan